Pendakwah selebriti sedia dibicara
Kes pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, yang didakwa atas dua tuduhan seksual membabitkan seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Mac ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Jamaludin Mat dan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, masing-masing menetapkan tarikh itu ketika kes disebut di hadapan mereka.
Peguam Syed Amirul Syed Edros, yang mewakili Syed Shah Iqmal, 26, ketika ditemui media, memaklumkan mahkamah menetapkan tarikh sebutan itu berikutan kertas siasatan kes tidak dibawa ke mahkamah pada hari ini.
Sementara itu, Syed Shah Iqmal, atau dikenali sebagai Dai’ Syed ketika ditemui di luar mahkamah, berkata beliau sedia dibicarakan.
“Alhamdulillah, saya makin gemuk dan berisi,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada sudah bersedia untuk dibicarakan atau tidak.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shanur Farrahin Shapti dan Zamriah Zarifah Aris.
Pada 10 Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan di dua mahkamah di sini.
Di Mahkamah Sesyen, Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Damansara Perdana antara jam 3 pagi hingga 4 pagi pada 17 Oktober 2020 dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, pendakwah itu didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan merogol seorang wanita yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 25 Januari lalu, tarikh itu ditunda kepada 16 Mac ini.
Sebutan baharu kes itu ditetapkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 13 Januari lalu.-BH
[VIDEO] Terima Kasih Datang, Doakan Saya
You must be logged in to post a comment.