Kerajaan ‘buntu’ tiada rancangan berkesan tarik pelabur asing – Daim Zainuddin

PETALING JAYA: Pelabur akan terus meminggirkan Malaysia selagi kerajaan tidak mempamerkan kecekapan dalam menguruskan negara, kata bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Beliau berkata kerajaan seolah-olah tidak mempunyai rancangan untuk merangsang semula ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, ketika negara lain di rantau ini mula bangkit semula.

“Kerajaan seolah-olah buntu dan tidak mempunyai rancangan berkesan. Pelabur tidak akan masuk sebuah negara di mana ketidakcekapan begitu nyata,” kata Daim dalam wawancara dengan FMT.

Pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia jatuh 68% ke AS$2.5 bilion pada 2020, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).

Menurut laporan UNCTAD itu, FDI Asia Tenggara berkurangan 31% kepada AS$107 bilion, dengan FDI Singapura jatuh 37% kepada AS$58 bilion, Indonesia 24% ke AS$18 bilion dan Vietnam 10% ke AS$14 bilion.

Daim berkata pelabur mempunyai banyak pilihan selain Malaysia, justeru Putrajaya tidak harus leka atau berpeluk tubuh.

“Jika kita mahu memulihkan status Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang baik, pemimpin kerajaan harus meningkatkan prestasi mereka.

Hubungan UMNO-Pas sudah berakhir?

“Namun, pelabur tidak nampak tanda-tanda ini berlaku. Kita jangan lupa pelabur ada pelbagai pilihan dan membuat keputusan berdasarkan apa yang nyata dan hakikat,” kata Daim.

Beliau berkata, sebelum wabak Covid-19 bermula, Malaysia sudah pun ketinggalan sebagai destinasi pelaburan berbanding negara jiran yang mencatatkan aliran masuk FDI jauh lebih tinggi.

“Kita pernah menjadi destinasi pilihan pelabur asing. Jika pemimpin yang sedia ada tidak memperbaiki prestasi mereka, saya meramalkan Malaysia semakin tercorot dalam senarai pilihan pelabur,” kata Daim.

Beliau berkata pengisytiharan darurat pada bulan lalu tidak membantu meningkatkan sentimen pelabur.

Justeru, untuk membendung kesan negatif susulan pengisytiharan itu, Daim menegaskan, kerajaan harus telus dalam setiap tindakannya supaya tidak menghakis lagi keyakinan pelabur.

Beliau berkata sungguhpun dasar Malaysia adalah ke arah menarik FDI berteknologi tinggi, kerajaan harus memperkukuhkan iklim pelaburan domestik dalam setiap aspek.

Ini termasuk menyediakan penyelarasan lebih baik antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan penguasa tempatan serti pemberian insentif yang merangsang pelabur untuk berdaya saing dan kompetitif dalam persekitaran mencabar.

Daim mencadangkan agar kerajaan mengambil beberapa langkah khusus untuk mengatasi aliran masuk FDI yang lesu.

Antaranya ialah:

  • Merangsang pelaburan langsung domestik (DDI) kerana kedua-dua DDI dan FDI sama penting dan boleh memberi kesan pelengkap jika jaringan “DDI-FDI” bernilai tinggi diwujudkan, dengan PKS domestik yang menjadi tulang belakang perindustrian Malaysia;
  • Mempercepatkan pembaharuan pengawalseliaan untuk mewujudkan persekitaran ekonomi lebih dinamis;
  • Mengatasi kelemahan dalam penyediaan tenaga kerja berkemahiran dan menangani pengangguran; dan
  • Mempamerkan iltizam politik tinggi untuk menggubal dan melaksanakan pelan tindakan ekonomi dan perindustrian berwibawa.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker