Doakan Kesembuhan Afiq
“Memang dulu doktor memaklumkan pemindahan hati itu ada risiko dan meminta kami bersedia kerana tidak tahu dia boleh bertahan sampai bila, namun sebagai bapa saya tidak sanggup perkara buruk itu terjadi kepada anak saya.
“Jadi kini, hanya doa mampu kami panjatkan mengharapkan supaya ada keajaiban berlaku kali ini,” demikian kata Muhamad Zaini Rahim,50.
Muhammad Zaini adalah bapa kepada Mohd Afiq Ikmal, 23, yang kini dilaporkan tidak sedarkan diri akibat komplikasi hati.
Bapa tiga anak itu berkata, anak sulungnya itu dimasukkan ke Hospital Selayang selepas tidak sedarkan diri, tengah hari Sabtu lalu.
“Pagi itu dia bangun sarapan pagi dan seperti biasa selepas makan dia akan tidur sekejap.
“Kemudian, saya mengejutkannya untuk makan tengah hari dan makan ubat, namun dia tidak bangun saya ingatkan dia letih.
“Saya cuba kejutkannya lagi sekali, dia masih tidak memberikan reaksi sebelum kami menghubungi ambulans membawanya ke hospital,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, doktor sedang berusaha menstabilkan keadaan Mohd Afiq Ikma yang kemungkinan berlaku penolakan pada hatinya.
“Doktor memberikan ubat-ubatan untuk stabilkan kembali hatinya yang kemungkinan berlaku penolakan.
“Kami sekeluarga amat bimbangkannya walaupun Afiq kerap dimasukkan hospital sebelum ini, namun keadaan kali ini pertama kali paling teruk berlaku,” katanya Afiq baru seminggu pulang ke rumah selepas lebih sebulan dimasukkan ke hospital akibat jaundis.
Katanya, mereka sekeluarga menyifatkan Mohd Afiq Ikmal sebagai seorang yang kuat melawan penyakitnya selama ini.
“Selama ini kami tidak pernah mendengar dia mengeluh sampaikan kadang-kadang kita tak tahu pun dia sakit, mungkin dia tidak mahu menyusahkan kami.
“Kami sudah usaha cuma doa dan tawakal saja mudah-mudahan Allah mudahkan dia melawan penyakitnya, panjangkan umurnya dan sembuhkannya.
“Sebagai bapa, dengan rasa rendah hati saya memohon rakyat Malaysia sama-sama mendoakan kesembuhan Afiq mana tahu mungkin ada doa hamba Allah lain yang dimakbulkan,” katanya.
Mohd Afiq Ikmal mencatat sejarah negara apabila menjadi penerima hati pertama di Malaysia pada 1999 selepas menerima hati daripada Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45.
Wan Mohd Hafizam yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan Mohd Afiq Ikmal membuat keputusan itu atas dasar kemanusiaan dan mahu membantu pemuda itu yang mengalami masalah hati bengkak ketika usianya 14 bulan.
Keberanian Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang menjadi penderma hati pertama Malaysia itu sekali gus membuka mata dan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan pendermaan organ.-HM
You must be logged in to post a comment.