“Kalau Nak Jadi Pengganti Saya, Silalah Datang Jumpa Saya” – Datuk M.Daud Kilau cari pengganti Raja Gelek
BAGAN DATUK: Datuk M. Daud Kilau menawarkan kepada sesiapa yang berminat dan berkebolehan menggantikan tempatnya sebagai Raja Gelek dengan syarat mampu ‘bergelek’ sepertinya.
Artis berusia 83 tahun itu turut menawarkan koleksi baju yang pernah digunakannya semasa membuat persembahan pentas secara percuma dan diberikan terus kepada individu yang sedia menggantikan tempatnya sebagai penghibur.
Katanya, dia mempunyai koleksi 99 helai baju persembahan pentas dalam simpanannya sepanjang bergelar artis yang menampilkan kelainan terutama menerusi pakaiannya.
Ppenyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Cek Mek Molek’ dan ‘Gila Judi’ itu bagaimanapun menetapkan syarat penggantinya perlu berupaya meniru gayanya bergelek di pentas.
“Saya nak cari pengganti. Jika sesiapa nak gantikan tempat saya sebagai Raja Gelek, ambillah pakaian persembahan pentas yang saya simpan ini secara percuma. Ada 99 helai, saya nak bagi terus tetapi perlu ikut penampilan dan gaya saya iaitu mesti tahu bergelek semasa menyanyi.
“Kalau nak jadi pengganti saya, silalah datang jumpa datang saya tapi mestilah peminat Daud Kilau, minat lagu-lagu saya. Nak bergelek saya boleh ajarkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Sungai Balai Baru, di sini semalam.
Menurutnya, beliau sedia memberikan koleksi baju yang digunakannya semasa membuat persembahan pentas daripada terbiar begitu sahaja dalam simpanannya.
Katanya, beliau sayangkan koleksi bajunya itu malah pernah menolak tawaran pihak yang mahu menyewanya kerana tidak mahu memberikannya kepada sembarangan orang.
“Daripada baju ini terbiar dalam simpanan saya, lebih baik saya tawarkan kepada sesiapa yang berminat untuk menggantikan tempat saya sebagai Raja Gelek,” katanya.
Mengenai keadaan kesihatannya, Daud Kilau berkata, beliau semakin sihat dan kini sudah boleh berjalan, menunaikan solat dan makan seperti biasa namun tetap dengan keputusan untuk meninggalkan terus dunia nyanyian.
“Saya tak akan naik pentas lagi, tak akan buat persembahan walaupun jika ada tawaran. Saya nak menetap di kampung dan buat amal ibadah,” katanya.
Sebelum ini, kesihatan penyanyi veteran itu merosot sejak beberapa tahun lalu kerana menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil menyebabkannya mengambil keputusan tidak lagi membuat persembahan pentas.
Daud Kilau sebelum ini lebih banyak berbaring di rumahnya di sini dan pada 12 November lalu, beliau dikejarkan ke Hospital Teluk Intan akibat sesak nafas. -UTUSAN ONLINE