Jawatankuasa menasihati Agong mengenai darurat bercanggah dengan perlembagaan – Peguam

PETALING JAYA: Jawatankuasa dianggotai 19 individu yang diketuai oleh bekas ketua hakim tidak boleh memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai keadaan darurat kerana tindakan itu bersamaan dengan merebut fungsi dan tugas Kabinet, kata peguam.

Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar berkata, jawatankuasa itu hanya boleh memberikan nasihat kepada perdana menteri dan menteri.

Katanya, kuasa, fungsi dan kewajipan untuk menasihati Agong berkenaan apa-apa hal sekalipun terletak pada Kabinet atau menteri, seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.



“Nasihat yang diberikan itu tidak bernilai. Agong tidak terikat secara perlembagaan dan tidak ada konvensyen yang mewajibkannya mematuhi nasihat tersebut,” katanya.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, penubuhan jawatankuasa itu menepati undang-undang kerana ia ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan 2021 (Kuasa-kuasa Perlu), yang mula beroperasi pada 11 Jan.

“Namun, apa-apa nasihat yang diberikan kepada Agong adalah tidak berperlembagaan kerana ia akan menjadi perebutan kuasa eksekutif,” katanya.

Kata Rafique, walaupun keadaan darurat diisytiharkan untuk memerangi wabak Covid-19, Kabinet yang dipimpin oleh seorang perdana menteri masih utuh.



“Perlembagaan kita belum digantung. Tidak ada undang-undang atau peraturan persekutuan yang boleh melanggar undang-undang tertinggi negara,” katanya.

Pada Selasa, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan anggota jawatankuasa darurat, dengan bekas ketua hakim Arifin Zakaria sebagai pengerusinya.

Anggota lain terdiri daripada bekas penjawat awam, ahli profesional dan ahli politik daripada kedua-dua belah pihak.

Ordinan itu menyebut bahawa jawatankuasa khas bebas akan ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai keadaan kecemasan yang berlarutan yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam persekutuan berpunca daripada wabak Covid-19.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker