Ekonomi negara menguncup 5.6% tahun lalu


Ekonomi mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 3.4% pada suku keempat (S3 2020: -2.6%), terutamanya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri sejak pertengahan bulan Oktober.

Pada tahun 2020 secara keseluruhan, ekonomi menguncup sebanyak 5.6%, kata Bank Negata Malaysia (BNM).

Sekatan pergerakan terutamanya perjalanan antara daerah dan antara negeri, menjejaskan kegiatan ekonomi pada suku keempat, bagaimanapun permintaan luaran yang terus bertambah baik telah menyokong pertumbuhan.

Kesannya, kesemua sektor ekonomi kecuali perkilangan terus mencatatkan pertumbuhan negatif.



Dari segi perbelanjaan, aktiviti penggunaan swasta dan pelaburan awam yang sederhana menjejaskan permintaan dalam negeri.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 0.3% (S3 2020: 18.2%).

Pada suku tersebut, inflasi keseluruhan menurun kepada -1.5% mencerminkan sebahagiannya penurunan harga bahan api runcit yang lebih besar berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.



Inflasi teras menjadi sederhana sedikit kepada 0.8% disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih rendah untuk perkhidmatan komunikasi dan sewa.

Menurutnya, ringgit menambah nilai sebanyak 3.6% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku keempat 2020, dipacu terutamanya oleh aliran masuk portfolio bukan pemastautin apabila kesanggupan pelabur mengambil risiko terus meningkat.

Sentimen pelabur yang positif pada suku itu didorong oleh berita kejayaan ujian penggunaan vaksin dan program pemvaksinan yang mula dilaksanakan di negara-negara utama, serta halu tuju dasar di AS yang semakin jelas susulan keputusan pilihan raya presiden AS.

Secara kolektif, faktor-faktor ini membentuk asas prospek pelaburan yang lebih positif untuk pemulihan krisis kesihatan global, lantas memperkukuh jangkaan kegiatan ekonomi akhirnya akan kembali normal.



Dari 1 Januari hingga 8 Februari 2021, ringgit menurun nilai sebanyak 1.2% berbanding dengan dolar AS, sejajar dengan penurunan nilai mata wang utama dan serantau secara keseluruhan, berikutan pengukuhan dolar AS dalam keadaan prospek pemulihan ekonomi AS bertambah baik, katanya.

Kebimbangan mengenai peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan kesannya terhadap kegiatan ekonomi dalam negeri juga mempengaruhi sentimen pelabur.

Pelaburan portfolio mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih kecil sebanyak RM6.9 bilion pada suku keempat (S3 2020: -RM23.1 bilion), sementara FDI bersih mencatatkan aliran masuk sebanyak RM6.1 bilion (S3 2020: -RM0.8 bilion).

Bagi tempoh jangka pendek, masih wujud risiko bahawa volatiliti kadar pertukaran akan meningkat disebabkan oleh ketidakpastian yang berlarutan berhubung dengan momentum pemulihan ekonomi global yang akan terus mempengaruhi sentimen pelabur.



Manakala pembiayaan bersih kepada sektor swasta terus berkembang pada asas tahunan sebanyak 4.4%.

Jumlah pinjaman terkumpul meningkat 3.7% (S3 2020: 4.7%) disokong oleh pertumbuhan yang berterusan dalam segmen isi rumah dan perniagaan.

Jumlah pengeluaran pinjaman untuk sektor perniagaan dan isi rumah meningkat pada suku tersebut dan pertumbuhan pembayaran balik pinjaman perniagaan juga lebih tinggi, iaitu mengatasi pengeluaran pinjaman.

Permintaan terhadap pinjaman pula terus menggalakkan terutamanya dalam segmen isi rumah.



Ekonomi Malaysia akan pulih disokong oleh permintaan luaran yang lebih baik dan langkah-langkah Belanjawan 2021

Walaupun pertumbuhan jangka pendek pada tahun 2021 akan dipengaruhi oleh pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat, namun kesannya tidak seteruk yang dialami pada tahun 2020.

Trajektori pertumbuhan diunjurkan bertambah baik dari suku kedua dan seterusnya.

Peningkatan ini akan didorong oleh pemulihan permintaan global, apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menaikkan unjuran pertumbuhan global tahun 2021 sebanyak 0.3 mata peratusan kepada 5.5%.



Pertumbuhan ini juga akan disokong oleh perubahan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar termasuk PENJANA, KITA PRIHATIN, Belanjawan 2021 dan PERMAI, serta pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti perkilangan dan perlombongan yang sedia ada dan baharu.

Pemberian vaksin yang akan bermula pada bulan ini juga diharapkan dapat meningkatkan sentimen.

Bank Pusat itu menambah, sejajar dengan penilaian sebelum ini, purata inflasi keseluruhan adalah -1.2% pada tahun 2020 disebabkan terutamanya oleh harga minyak dunia yang ketara lebih rendah.

Bagi tahun 2021, purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi, terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga minyak dunia. Inflasi asas dijangka kekal rendah dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan ini bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi. MG

https://mykmu.net/2017/04/23/guan-eng-perlu-belajar-asas-makroekonomi/

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker