Kompaun untuk mendidik bukan jana hasil buat kerajaan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan, tindakan kompaun terhadap individu yang melanggar peraturan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya untuk mendidik masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Katanya, orang ramai harus faham bahawa apa saja hukuman yang dikuatkuasakan di bawah sesuatu undang-undang bukan untuk menunjukkan pasukan PDRM merupakan agensi paling cekap mengutip hasil buat kerajaan.

 

“Masyarakat tidak perlu takut berdepan hukuman sekiranya mereka sendiri memahami berhubung larangan yang ditetapkan. Misalnya memakai pelitup muka, tidak boleh berkumpul di tempat awam tanpa tujuan itu cukup senang untuk dipatuhi.

“Memang berat buat warga PDRM untuk mengambil tindakan kompaun kecuali terpaksa kerana apabila pematuhan longgar mengakibatkan peningkatan dalam kes Covid-19,” katanya dalam satu temu bual khas bersama MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.

MGF06022020_HAMID-BADOR-IGP_11
Temubual eksklusif MalaysiaGazette bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador di Ibu Pejabat Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 06 FEBRUARI 2021.

Mengulas mengenai cadangan menaikkan nilai kompaun, Abdul Hamid memberitahu sudah tiba masanya mewartakan kadar kompaun baru kerana masih ramai masyarakat gagal mematuhi SOP dan ia terbukti apabila ribuan kompaun dikeluarkan setiap minggu.

 

Jelas beliau, orang ramai tidak perlu takut jika nilai kompaun dinaikkan kepada RM10,000 sekiranya patuhi undang-undang yang ditetapkan

“Apa yang saya lihat kini, ramai menggunakan alasan-alasan penting diri untuk keluar rumah melebihi 10 kilometer sebagai contoh mahu ke pasaraya jauh dari kawasan kediaman dengan alasan sudah biasa membeli barang keperluan di sana.

“Sepatutnya masyarakat mengambil peluang daripada arahan ini untuk mendisiplkan diri demi kebaikan sendiri bukan cuba mencabar undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya.

 

Dalam perkembangan sama, beliau juga menegaskan nilai kompaun bukan ditentukan PDRM dan sekiranya ada pihak yang tidak puas hati boleh merayu.

“Mesti diingatkan, pihak polis hanya mengeluarkan saman namun nilai kompaun itu ditentukan pegawai kesihatan daerah dan saya sendiri tidak mempunyai kuasa membatalkan kompaun itu,” katanya. – MalaysiaGazette

‘KKM dipaksa keluar kenyataan separuh benar isu kompaun Khairuddin?’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker