Jual aset berjuta-juta, tetapi hutang negara tidak turun – Ka Siong

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mempersoalkan di manakah hasil penjualan aset negara oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga menyebabkan hutang negara tidak pernah turun pada tangga yang sepatutnya.

Beliau berkata, tumpuan PH kepada usaha memulihkan ekonomi negara hanyalah bersifat retorik semata-mata kerana masa yang dihabiskan mereka hanya untuk perkara yang tidak produktif.

“Dalam 450 hari kerajaan baharu berkuasa, banyak projek telah dibatalkan dan aset negara dijual.

“Dengan aset yang dijual berjuta-juta ringgit, mengapa tidak hutang negara menurun,” katanya seperti dipetik laporan akhbar The Star hari ini.

Dalam pada itu, Ka Siong menggesa semua pemimpin PH untuk memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negara dan tidak membuang masa kepada isu yang tidak relevan sehingga mengakibatkan peratusan eksport negara menurun sebanyak 3.1 peratus.

“Semasa (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng adalah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau menandatangani kontrak pada 2013 untuk penambakan semula Gurney Wharf. Lim mendakwa mereka telah memberikan tanah kepada pemaju tetapi tidak membayar mereka wang.

“Beliau berkata, China Petroleum Pipeline Engineering telah menerima 80 peratus daripada kos projek manakala kerja yang dilakukan hanya 13 peratus.

“Jika benar, kenapa anda tidak boleh menggunakan logik yang sama kepada projek terowong bawah laut dan tiga projek lebuh raya di Pulau Pinang?

“Terdapat sifar kemajuan di tapak tetapi tanah itu sudah dipindahkan kepada pemaju,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker