Rezeki Pakcik Sazali….Sejam ‘Bertarung’ Dengan Ikan Tapah 68kg

Sebaran :

KUALA SELANGOR – Seorang nelayan ‘bertarung’ selama sejam untuk mendaratkan seekor ikan tapah gergasi seberat 68 kilogram (Kg) di Kampung Parit Dua, Tanjong Karang di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Sazali Mohd. Amin, 59, terpaksa menggunakan seluruh kudrat bagi ‘menjinakkan’ ikan yang berada pada joran buluh miliknya.

Sazali memberitahu, dia memacakkan joran tersebut di tebing Sungai Ban Kenal yang terletak berhampiran rumahnya, kira-kira pukul 7 petang kelmarin.

“Namun, saya pelik apabila melihat joran itu beralih di tengah sungai keesokan harinya sebelum mendayung sampan untuk memeriksanya.

“Saya kemudian cuba mengambil joran itu namun terkejut apabila sampan ditarik sejauh 200 meter,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, petang tadi.

IKAN tapah itu.

Bercerita lanjut, datuk kepada tiga cucu itu mengambil masa selama sejam bagi menarik joran itu sebelum mendapati terdapat seekor Tapah gergasi seberat 68 kg.

Kata Sazali, ini merupakan tangkapan kedua terbesar sepanjang hampir 50 tahun dirinya menjadi nelayan darat di kampung tersebut.

Kali pertama adalah empat tahun lalu dengan ikan spesis sama seberat hampir 100kg di lokasi sama.

“Bagi tangkapan ikan terbaharu ini dijual kepada pihak pengurusan masjid kampung ini pada harga RM1,000,” jelasnya.

Terdahulu, hasil tangkapan Sazali itu turut tular di media sosial sehingga menarik perhatian orang ramai untuk bergambar dengan ikan gergasi tersebut. -K!ONLINE


Sebaran :

Leave a Reply