Sudah Jatuh Di Timpa Tangga..Lima Jari Kaki Kiri Hapsah Terpaksa Dipotong..

SANDAKAN: Seorang ibu yang bekerja sebagai penghantar makanan untuk mencari nafkah sehingga terbabit kemalangan di Jalan Lintas Labuk, di sini pada Rabu terpaksa menerima hakikat dia perlu menjalani kehidupan tanpa lima jari kaki kiri.

Doktor yang merawat mangsa Hapsah Pamma, 40, tidak mempunyai pilihan rawatan lain selain daripada membuang kelima-lima jarinya.

Menurut suaminya, Willie Anselmus atau Mohd Fauzi Abdullah, 47, dia dimaklumkan oleh doktor bahawa itu sahaja jalan terbaik yang boleh diberikan kepada isterinya yang dirempuh sebuah lori dari arah belakang ketika baru selesai menghantar pesanan.

“Saya tidak boleh buat apa-apa, doktor cakap begitu (potong lima jari kaki kiri), kaki sebelah kirinya sudah nampak tulang, ibu jari tu tidak lagi bersambung macam biasa, sudah putus… hendak disimen pun tidak bole, jadi kena potong lima jari kaki itu,” kata Willie kepada Astro AWANI ketika ditemui di Hospital Duchess of Kent (HDOK), di sini pada Khamis.

Menurutnya, dia terkejut ketika menerima panggilan yang memaklumkan isterinya terbabit kemalangan serta mengalami kecederaan parah menyebabkan dia segera bangun dari tempat tidur dan berkejar ke lokasi kejadian.

“Apabila sudah dibawa ke hospital saya dimaklumkan kaki isteri hancur dan semua jari kaki kirinya terpaksa dipotong,” ujarnya dalam nada sedih.

Kata Willie, dia dan isterinya terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan kehidupan mereka apatah lagi sejak wabak COVID-19 melanda negara, apa lagi pendapatannya sebagai pengawal keselamatan setiap bulan hanya RM1,100.

Ekoran itu , isterinya memulakan kerjaya sebagai penghantar makanan sejak lapan bulan lalu.

Pasangan berkenaan mempunyai seorang anak lelaki yang masih bersekolah dalam darjah dua.

Willie berkata, isterinya kini sudah sedarkan diri dan berada dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi pada Rabu, motosikal yang ditunggang Hapsah dirempuh lori dari belakang menyebabkan kaki kirinya hancur.

Sekiranya orang ramai mahu menyampaikan sumbangan bolehlah menghubungi Willie Anselmus di talian 014-2020698.

Leave a Reply