Asing peranan peguam negara, pendakwa raya – Presiden Majlis Peguam

Presiden Majlis Peguam Salim Bashir

 

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam mahu kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan setelah Parlimen bersidang semula untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya.

Presidennya Salim Bashir berkata, ia harus dilakukan untuk menanamkan kepercayaan masyarakat terhadap keadilan, tanpa mengira siapa pun yang dilantik sebagai pendakwa raya.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mesti mempunyai kemahuan politik untuk mengasingkan peranan tersebut kerana ketika ini, Peguam Negara mungkin berada di posisi yang sukar untuk menjalankan tugasnya dalam kedua-dua kapasiti,” kata Salim kepada FMT.

Salim memberi respons terhadap dakwaan campur tangan eksekutif dalam tempoh 20 bulan Tommy Thomas menjadi Peguam Negara bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Dalam bukunya, “My Story: Justice in the Wilderness”, Thomas mendakwa Mahathir memberitahunya untuk mengelak sebarang prosiding mahkamah terbuka dalam usaha mengekstradisi pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik.

Dia juga menuduh Kementerian Dalam Negeri memberi tekanan kepadanya ketika memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengatakan hakim boleh mendengar permohonan jaminan sekalipun seseorang tertuduh didakwa dengan kesalahan berkaitan keganasan.

Thomas berkata, kementerian tersebut juga marah ketika dia memutuskan untuk menarik balik pertuduhan terhadap 12 individu, termasuk wakil rakyat DAP, atas tindakan berkaitan keganasan.

Kata Salim, pindaan itu harus menjadi urusan pertama apabila Parlimen disambung semula, dan semua Ahli Parlimen harus menyokongnya kerana ini adalah untuk kebaikan negara dan rakyat.

Kes Lim Guan Eng: Ini Ibu Segala Pendakwaan: Pendakwa Raya Yakin ‘99% menang [Video]

“Dua pertiga sokongan Ahli Parlimen diperlukan untuk meminda Artikel 145, sementara hanya majoriti ringkas diperlukan untuk meminda Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah untuk mengasingkan peranan mereka dengan jelas,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat pada November satu kertas mengenai pengasingan kuasa tersebut akan diserahkan kepada Kabinet menjelang akhir tahun, dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang dalam tahap akhir draf.

Pada 2018, Pakatan Harapan (PH) berjanji dalam manifestonya untuk mengasingkan tanggungjawab Peguam Negara daripada tanggungjawab pendakwa raya. Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) lima anggota yang dipengerusikan oleh bekas hakim, KC Vohrah telah ditubuhkan.

Menurut PH, Peguam Negara akan dilantik daripada kalangan Ahli Parlimen yang berkelayakan, dan akan menjadi menteri yang bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan.

Sementara itu, pendakwa raya akan menjadi individu yang bebas daripada kepentingan politik dengan autonomi untuk menjalankan pendakwaan.

Majlis Peguam, yang mewakili kepentingan 20,000 peguam di Semenanjung, juga mengemukakan kertas cadangannya kepada IRC berhubung perkara itu.

Dalam kertas cadangan itu, Majlis Peguam menyatakan sebagai pendakwa raya, Peguam Negara harus bertindak secara bebas dan tidak berat sebelah, dan bertindak sebagai penjaga kepentingan awam, tanpa dipengaruhi oleh pertimbangan politik.

Maka, kata Majlis Peguam, Peguam Negara dari semasa ke semasa akan diletakkan di kedudukan yang sukar disebabkan oleh konflik kepentingan, apabila kepentingan kliennya – kerajaan semasa – mungkin akan bercanggah dengan kepentingan awam.

Dalam bukunya, Thomas juga mengakui bahawa Artikel 145 (5) menyatakan bahawa Peguam Negara akan memegang jawatan tersebut atas perkenan Yang di-Pertuan Agong tetapi ia sebenarnya bermaksud perdana menteri.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker