Tak perlu ‘sentuh’ KWAN jika ekonomi diurus baik, kata pemimpin Pejuang


PETALING JAYA: Kerajaan tidak semestinya harus memanfaatkan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk perbelanjaan vaksin sekiranya pengurusan ekonomi dilakukan sebaiknya, kata seorang pemimpin Pejuang hari ini.

Anggota Jawatankuasa Pusat Pejuang, Tariq Ismail Mustafa mendakwa kerajaan tidak cekap menguruskan kewangan negara, malah mempersoalkan sama ada bajet tahun lalu dibuat berdasarkan keperluan politik dan bukannya dengan berfikir panjang mengenai senario risiko terhadap ekonomi akibat wabak.

“Sekiranya segala pakej ransangan ekonomi dan pemilihan wabak telah dirancang baik sebelum pakej ransangan diumumkan, tiada sebab Dana KWAN perlu disentuh,” katanya dalam kenyataan.

“Seharusnya kerajaan sudah dapat menjangka risiko dan kesan ekonomi akibat pandemik, dan awal lagi merangka langkah strategik bagi menimbal balik kekurangan hasil yang dijangka berlaku.

“Sebaliknya, perbelanjaan kerajaan banyak dihabiskan bagi menampung 70 menteri kabinet dan kerenah mereka.”

Kerajaan baru-baru ini meluluskan ordinan darurat baru yang meminda Akta KWAN 1988 untuk membolehkannya digunakan bagi pembelian vaksin dan perbelanjaan berkaitan.

Dana yang ditubuhkan pada 1988 dan diuruskan Bank Negara Malaysia itu dilaporkan mempunyai aset bernilai RM16.9 bilion setakat akhir 2017, dengan Petronas sebagai penyumbang paling penting.

Tariq, bekas anggota Majlis Tertinggi PPBM, juga menyelar kenyataan Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan kerana membandingkan KWAN dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam.

Beliau menyatakan, dana KWAN disimpan secara amanah untuk tujuan tertentu, iaitu pembiayaan alternatif pembangunan negara.

Katanya, dana itu membolehkan pendapatan dilaburkan secara berhemah dan tidak disalahgunakan kecuali dengan alasan yang disepakati di Dewan Rakyat.

“Dari segi prinsip perakaunan, ianya suatu “accounting provision” bagi projek-projek tertentu di mana dana wang diperuntukkan dan dilabur bagi menjamin pembiayaan projek tidak terjejas.

“Ianya bukan akaun simpanan kerajaan sepertimana KWSP suatu bentuk simpanan untuk pekerja.” FMT

Kenapa guna dana KWAN jika kerajaan buat pinjaman RM85 bilion, soal Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker