Penyerang baharu JDT pemain termahal Liga M

KUALA LUMPUR: Lebih sebulan bergelar pemain termahal Liga Malaysia (Liga M), Gonzalo Cabrera kini sudah ‘dipotong’ rakan sepasukan baharunya di Johor Darul Ta’zim (JDT), Jonathan Herrera untuk takhta pemain termahal Liga M.

Ini selepas berdasarkan semakan di laman sesawang transfermarkt.co.uk, bekas penyerang San Lorenzo itu memegang nilai pasaran termahal dalam kalangan pemain Liga M apabila dia berharga sekitar RM5.96 juta.

Angka itu tampak terus memintas Cabrera yang memiliki nilai RM2.93 juta dan lebih mengejutkan, Herrera turut mengatasi seorang lagi pemain termahal yang juga bekas pemain skuad Harimau Selatan, Diogo yang sebelum ini dianggarkan bernilai RM4.8 juta.

Malah, pemain berusia 29 tahun itu pernah mencecah nilai pasarannya yang tertinggi pada 2019 apabila meraih nilai setinggi RM7.45 juta.

Bukan setakat Herrera, malah ‘budak baharu’ Selangor yang juga bekas pemain Real Zaragoza, Oliver Buff turut menempatkan diri dalam senarai lima teratas apabila dia berkongsi nilai yang sama dengan pemain tengah JDT, Liridon Krasniqi iaitu RM1.73 juta.

Bagaimanapun, tiada perubahan dapat disaksikan dalam kedudukan 10 pemain termahal apabila lima tempat teratas didominasi pemain JDT iaitu Herrera, Cabrera, Leandro Velazquez (RM2.7 juta), Mauricio (RM2.3 juta) dan Liridon yang terikat bersama Oliver.

Kedudukan keenam diisi pemain berdarah campuran, Natxo Insa dan penggempur berbisa Selangor, Ifedayo Olusegun dengan nilai RM1.6 juta.

Beberapa pemain lain pula memiliki nilai pasaran RM1.47 juta antaranya tiga pemain kacukan iaitu La Vere Corbin Ong, Matt Davies dan Brendan Gan; pemain import seperti Kpah Sherman, Careca, David da Silva dan Renan Alves serta calon pemain naturalisasi negara, Romel Morales.

Nilai RM1.47 juta itu turut menjadi nilai pasaran tertinggi untuk pemain tempatan dan antara pemainnya adalah Baddrol Bakhtiar dan Shahrul Saad.

Senarai pemain termahal Liga M 2021

1. Jonathan Herrera (JDT) – RM5.96 juta
2. Gonzalo Cabrera (JDT) RM2.93 juta
3. Leandro Velazquez (JDT) RM2.7 juta
4. Mauricio (JDT) RM2.3 juta
5. Liridon Krasniqi (JDT), Oliver Buff (Selangor) RM1.73 juta
6. Natxo Insa (JDT), Ifedayo Olusegun (Selangor) RM1.6 juta
7. La Vere Corbin Ong, Matt Davies, Hariss Harun (JDT), Kpah Sherman, Renan Alves (Kedah), Careca, Guilherme de Paula (Perak), David da Silva (TFC), Brendan Gan (Selangor), Romel Morales (KL), Baddrol Bakhtiar (Kedah), Shahrul Saad (Perak) – RM1.47 juta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker