YDP Agong sekali lagi tampil corak pemerintahan bijaksana, cekap

SHAH ALAM – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menjunjung kasih dan merafak sembah syukur ke bawah duli Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila sekali lagi menampilkan corak pemerintahan yang bijaksana dan cekap.

Presiden PKIM, Ahmad Farhan Rosli berkata, Seri Paduka Baginda tidak terburu-buru membuat keputusan untuk menerima dan melaksanakan syor yang dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung krisis menangani pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini, sebaliknya berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-raja Melayu dalam masa terdekat yang disifatkan sebagai satu langkah jitu.



“Dalam membuat sebarang keputusan yang kritikal pada saat-saat getir sebegini, amatlah wajar untuk kita kembali menghidupkan amalan musyawarah kerana inilah semangat demokrasi Malaysia.

“Tiada pemusatan kuasa pada satu sosok atau entiti sahaja tetapi turut melibatkan rundingan dan perwakilan setiap pihak yang perlu dititikberatkan dalam urusan pentadbiran negara.

“Seluruh rakyat wajar diberikan peluang untuk menyuarakan pendirian dan bukannya sekadar menerima keputusan pemerintah secara membuta tuli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, darurat bukan keperluan utama kerana wabak Covid-19 dapat ditangani melalui peruntukan undang-undang sedia ada.



Menurutnya, rakyat memerlukan kerajaan yang tidak cuai, tegas tanpa sikap berat sebelah dan berani bersemuka dengan rakyat.

“Sekali lagi, PKPIM mengajak seluruh rakyat untuk kekal bertenang. Berikanlah masa kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu menjalankan urusan baginda selaras dengan lunas Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Belanjawan: Pakar ekonomi akui SST tidak cekap, perlu diganti



 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker