Kesan lebam, luka lama dan baharu pada arwah adik Amir

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

MELAKA: Terdapat banyak kesan lebam dan beberapa kecederaan lama serta baharu pada badan serta kepala kanak-kanak yang meninggal dunia dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya, di sini.

Selain itu, ada kesan luka kecil sepanjang tiga sentimeter di belakang kepala, dipercayai baru berlaku ke atas mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan punca kematian mangsa sama ada disebabkan didera atau akibat lemas seperti didakwa sebelum ini.

Katanya, laporan hasil bedah siasat ke atas mangsa juga belum dapat memastikan punca kematian kerana terdapat beberapa spesimen perlu dihantar ke makmal untuk ujian lanjut.

 

RUMAH yang didiami Kanak-kanak yang ditemui mati dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya, Melaka. Foto Ihsan Polis.
RUMAH yang didiami Kanak-kanak yang ditemui mati dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya, Melaka. Foto Ihsan Polis.

“Masih terlalu awal untuk mengesahkan punca kematian, cuma kita boleh sahkan memang terdapat kecederaan terutama sekali pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan terutama di bahagian belakang mangsa.

“Kami percaya kecederaan itu akibat dipukul dengan objek tumpul, namun kita masih melakukan siasatan rapi berkaitan perkara itu sama ada kecederaan itu disebabkan mangsa terjatuh atau dipukul oleh mana-mana individu,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, malam ini.

Beliau berkata, beberapa spesimen seperti paru-paru, jantung dan hati sudah dihantar ke makmal untuk ujian, tetapi tidak dipastikan bila keputusan mengenainya akan diperoleh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika polis tiba di rumah mangsa Jumaat lalu, mayat sudah dikeluarkan daripada tong berisi air yang terletak dalam bilik air di tingkat bawah kediaman berkenaan.

“Ketika polis tiba, mangsa baru saja meninggal dunia kira-kira tiga jam, sekali gus menepis dakwaan segelintir netizen yang mendakwa mangsa sudah meninggal dunia tiga hari sebelum itu,” katanya.

Mohd Sukri juga yakin jenazah mangsa akan diserahkan kepada waris yang sah selewat-lewatnya pagi esok untuk urusan pengebumian.

“Tiga adik-beradik mangsa juga akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker