IPT dituntut keluarkan SOP pengajian

 

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mahu Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian mengikut garis panduan kemasukan pelajar yang Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) secepat mungkin.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata tindakan ini akan membolehkan pelajar yang berkeperluan dapat merancang perjalanan mereka lebih awal untuk kembali ke kampus sebelum 1 Mac ini.

“MPPK berharap keputusan ini dapat membantu pelajar dalam meneruskan pengajian di IPT masing-masing.

“MPPK juga ingin menasihati rakan-rakan pelajar supaya menanti terlebih dahulu pengumuman berhubung SOP kemasukan pelajar daripada IPT masing-masing sebelum membuat sebarang perancangan untuk kembali ke kampus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KPT dalam kenyataannya hari ini bersetuju untuk membenarkan enam kategori pelajar berkeperluan untuk kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac ini bagi mengikuti pembelajaran secara hibrid iaitu secara fizikal dan secara dalam talian.

Muhammad Amir berkata, ini adalah keputusan terbaik kepada semua pelajar buat pada masa ini memandangkan peningkatan kes positif COVID-19 yang semakin tinggi di seluruh negara.

“Enam kategori pelajar berkeperluan yang digariskan oleh KPT untuk kembali ke kampus adalah tepat dan sesuai dengan hasrat pelajar.

“Penularan pandemik COVID-19 ini pastinya mendatangkan cabaran besar kepada mahasiswa di seluruh negara.

Oleh itu, MPPK berharap kita semua terus kuat dan tabah dalam menghadapi dugaan dan cabaran ini,” katanya.

 

Leave a Reply