Isu kartel daging import tak halal: Pengasas Raihanah Cold Storage saman Sang Kelembai
Pengasas syarikat Raihanah Cold Storage Sdn Bhd memfailkan saman menuntut ganti rugi RM150 juta terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Zaharin Mohd Yasin, juga dikenali sebagai Sang Kelembai, yang didakwa menerbitkan kenyataan memfitnah membabitkan isu kartel daging import tidak halal.
Peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah, ketika dihubungi pemberita, berkata tarikh 26 Feb ditetapkan sebagai pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli.
Penyataan tuntutan plaintif mendakwa defendan telah membuat, menyiarkan dan menerbitkan satu kenyataan fitnah dalam akaun Facebook miliknya sekitar Disember 2020 yang mengandungi foto plaintif pertama (Rahman), dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengenai butiran syarikat Raihanah Cold Storage Sdn Bhd termasuk nama penuh dan nombor kad pengenalan plaintif kedua (Raihanah).
Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud mereka mengedar atau menjual daging atau daging lembu tidak halal selain mendakwa syarikat tersebut mengamalkan taktik perniagaan berniat jahat dengan menukar bungkusan daging yang tidak halal dan membungkusnya semula sebagai daging halal untuk penjualan atau pengedaran.
Selain itu, ketiga-tiga plaintif mendakwa mereka tidak pernah terbabit dalam membawa, mengimport atau menyeludup daging atau daging lembu tidak halal ke Malaysia dan tidak pernah membungkus semula daging atau daging lembu tidak halal sebagai daging halal.
Mereka juga menafikan terbabit dalam amalan rasuah dengan Jabatan Kastam atau sebarang pihak berkuasa semasa berurusan dalam pengedaran atau penjualan daging halal.
Menurut plaintif, kenyataan fitnah itu dibuat tanpa sebarang asas, berniat jahat dan mencemarkan reputasi mereka selain mendakwa defendan membuat kenyataan secara melulu tanpa mendapatkan penjelasan daripada mereka.
Oleh itu, ketiga-tiga plaintif masing-masing menuntut ganti rugi am sebanyak RM50 juta daripada defendan dan memohon mahkamah mengeluarkan perintah bagi menghalang defendan daripada mengulangi, menerbitkan atau menyiarkan sebarang kenyataan fitnah dalam media sosial, forum atau akhbar.
Mereka turut memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
— BERNAMA
Syarikat, 2 pengarah didakwa guna logo halal tanpa diperakui
You must be logged in to post a comment.