‘Mangsa sering bersendirian, termenung’ – Jiran

Melaka: Jiran kanak-kanak yang meninggal dunia disyaki didera di Taman Krubong Jaya, di sini mendakwa budak lelaki itu sering kelihatan bersendirian dan kerap termenung.

Jiran yang berusia 47 tahun itu berkata, anaknya juga pernah mengambil gambar arwah termenung di sebalik jeriji besi di hadapan rumahnya.

“Apabila anak saya melambai ke arahnya dan ajak bersembang, dia tidak membalas dan segera masuk ke dalam rumah.

“Dengan ibu bapanya juga kami jarang bersembang,” katanya ketika ditemui, hari ini.

 

Keadaan rumah yang didiami mangsa bersama ibu kandung dan bapa tirinya. FOTO Amir Mamat
Keadaan rumah yang didiami mangsa bersama ibu kandung dan bapa tirinya. FOTO Amir Mamat

 

Seorang lagi jiran berusia 43 tahun pula mendakwa sempat bertanya petugas kesihatan yang hadir di kediaman berkenaan mengenai penemuan mayat mangsa.

Dakwanya, petugas berkenaan memaklumkan kanak-kanak malang itu berkemungkinan sudah lama meninggal dunia.

“Saya bergegas keluar rumah apabila melihat ada ambulans dan diberitahu ayah tiri mangsa bahawa anaknya meninggal dunia akibat lemas dan pada masa sama, saya juga nampak ibu mangsa duduk di atas sofa sambil menangis.

“Ketika itu, saya sempat bertanya kepada seorang petugas kesihatan di situ yang memaklumkan kanak-kanak itu mungkin sudah lama meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, dia sering mendengar bunyi tangisan budak di rumah mangsa namun tidak mengambil serius kerana menganggapnya biasa bagi keluarga yang mempunyai kanak-kanak.

Dalam kejadian 4 petang semalam, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun ditemui meninggal dunia dalam tong air berketinggian 60.9 sentimeter di kediaman keluarganya di taman perumahan berkenaan.

Siasatan polis mendapati terdapat kesan kecederaan di badan mangsa dipercayai akibat didera, menyebabkan ibu dan bapa tiri mangsa ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-HM

Leave a Reply