Lukis Mural Gergasi Untuk Pekan Buah
“Usaha menghasilkan mural gergasi kali ini benar-benar memberikan nilai sentimental kepada saya,” ujar pelukis mural, Fadzlan Rizan Johani, 41, yang berjaya menyiapkan lukisan mural terbesar di Pekan Buah, Alor Setar, Kedah.
Lukisan mural pada bangunan berhampiran Jalan Penjara Lama, Taman Pesisiran Tanjung Chali di sini, membabitkan ukuran sepanjang 17 meter dengan ketinggian 12 meter.
Dia yang juga pensyarah sambilan subjek elektif mural di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, lukisan mural itu mengambil masa enam minggu dan berjaya disiapkan, 21 Disember lalu.
“Asalnya lokasi ini adalah pasar buah-buahan tumpuan ramai. Namun ia semakin suram berikutan kepesatan pembangunan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, dia begitu berbangga dapat memberi nafas baru pada dinding bangunan yang sebelum ini terlihat tidak menarik.
“Bila saya tengok semula gambar asal sebelum kerja mural dan mengecat bangunan dilakukan, suasananya amat suram sekali apatah lagi kebanyakan penduduk sekitar adalah warga emas.
“Moga nafas baru diberikan ini dapat menarik anak muda menyambung legasi Pekan Buah sebagai tanda penghargaan kepada orang lama,” katanya yang ditugaskan untuk melukis mural di bawah projek Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Bercerita lanjut, Fadzlan Rizan berkata, cuaca tidak menentu antara cabaran utama dalam proses menyiapkan mural gergasi itu.
Namun baginya, kemesraan dan sapaan orang lama yang begitu gembira menghargai hasil karyanya itu membuatkan dia sentiasa bersemangat.
“Lokasi ini penuh sejarah, malah, nama lokasi Pekan Buah juga diambil daripada sejarah orang lama di sini yang sudah berniaga buah-buahan sejak 1965,” katanya.
Sebelum ini, Fadzlan Rizan pernah melukis mural terbesar di Malaysia di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, dan bersaiz 1,950 meter persegi.-HM
Tulis nama ‘Al-Sultan Abdullah’ sampai terbentuk potret Agong
You must be logged in to post a comment.