Penunggang, pembonceng motosikal sumbang angka kematian tertinggi 2020

Kira-kira 20,000 penunggang motosikal menggunakan jambatan Pulau Pinang setiap hari, dan nyawa mereka dalam bahaya kerana angin lintang yang kuat dan angin dari kereta yang bergerak laju. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Penunggang motosikal terus menjadi penyumbang tertinggi kematian akibat kemalangan jalan raya tahun lalu dengan 3,118 kes.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias berkata, secara keseluruhan jumlah kemalangan menurun kira-kira 26.3%, iaitu daripada 567,516 kes pada 2019 kepada 418,237 kes tahun lalu.

Daripada 418,237 kes kemalangan tahun lalu, katanya, sebanyak 4,297 kes membabitkan kemalangan maut berbanding 5,764 kes pada 2019, menurun 1,467 kes atau 25.5%.

Beliau berkata, antara punca utama penurunan kes kemalangan itu termasuk penularan Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan aktiviti penguatkuasaan berterusan oleh JSPT tahun lalu.

“Alhamdulillah, pelaksanaan PKP tahun lalu juga mempunyai hikmahnya tersendiri, apabila kadar kemalangan jalan raya pada 2020 menurun sebanyak 149,279 kes atau 26.3% berbanding 2019.

“Saya berharap trend penurunan ini akan berterusan dan menjadi khabar menggembirakan kepada kita, rakyat Malaysia semua pada masa depan.

Aksi ‘Gila’ penunggang basikal berkayuh di belakang lori ‘menyeramkan’ netizen [ VIDEO ]

“Dari segi jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pula, sebanyak 4,634 kes dicatatkan tahun lalu berbanding tahun sebelumnya, iaitu 6,167 kes kematian atau penurunan sebanyak 1,533 kes atau kira-kira 25%,” katanya pada sidang media di Bukit Aman yang disiarkan secara langsung di Facebook PDRM.

Bagaimanapun, Azisman berkata, pembonceng dan penunggang motosikal terus menjadi penyumbang terbanyak jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu dengan 3,118 kematian atau 67.7% berbanding 3,959 kematian pada 2019.

Katanya, kebanyakan kes kemalangan maut juga membabitkan penunggang motosikal dalam kalangan penghantar makanan yang sering melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas, seperti melanggar lampu isyarat.

Beliau berkata, pengguna kenderaan menjadi penyumbang kedua kematian akibat kemalangan jalan raya dengan 888 kematian dicatatkan tahun lalu berbanding 1,253 kematian pada 2019, disusuli pejalan kaki sebanyak 266 kematian tahun lalu.

Beliau berkata, antara lokasi utama kemalangan di jalan perbandaran, negeri dan lebuh raya atau jalan ekspres.

“PDRM juga berharap purata kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia akan terus menunjukkan penurunan, iaitu 17 kes sehari pada 2019, 12.7 kes sehari pada 2020 dan mungkin di bawah 10 kes kematian sehari dalam tempoh 10 tahun akan datang.”

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker