TVP kaedah tambahan, tak boleh ganti PdPR – Mahadi J Murat

Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia, Dr Mahadi J. Murat menjelaskan, TV Pendidikan (TVP) hanya boleh digunakan sebagai kaedah tambahan dan tidak mampu menggantikan keseluruhan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Mahadi yang merupakan bekas pengarah fotografi TVP pada tahun 1972 menambah, pembelajaran menerusi televisyen hanya boleh dijadikan sebagai pelengkap bagi setiap subjek yang diajar oleh guru di sekolah mahupun menerusi dalam talian.

“Dalam konteks pandemik Covid-19 ini, saya akui penyesuaian harus dibuat untuk mencari jalan memudahkan proses pembelajaran dan antara gesaan adalah untuk menggunakan TVP.



“Namun TVP tidak boleh digunakan keseluruhannya, ia juga tak boleh distruktur pembelajaran seperti dalam bilik darjah kerana terdapat kapasiti yang terbatas.

“TVP ini hanya satu kaedah tambahan dan pelengkap untuk setiap pembelajaran yang diajar guru di sekolah ataupun dalam talian pada masa kini,” katanya kepada Malaysiakini.

Gesaan pemerkasaan TVP disuarakan oleh beberapa ahli parlimen ekoran kesukaran yang dialami segelintir pelajar sekolah berhubung kekangan jaringan internet serta kemudahan untuk belajar menerusi dalam talian-PdPR.

Antaranya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahab yang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mewujudkan semula program TVP.



Bagaimanapun, baru-baru ini, Menteri Pendidikan Radzi Jidin menjelaskan pihaknya sentiasa berusaha untuk terus memperkasa TVP yang kini telah mula bersiaran selama sembilan jam sehari di beberapa stesen televisyen dengan pendekatan bersesuaian.

Sementara itu, Mahadi turut menjelaskan, antara kaedah tambahan yang boleh dipaparkan menerusi TVP adalah seperti format menjawab peperiksaan atau pembelajaran subjek asas.

“TVP akan jadi lebih berguna kalau fokus kepada pembelajaran subjek asas atau format menjawab soalan peperiksaan yang umum.

“Juga hanya fokuskan kepada pelajar yang akan ambil peperiksaan sahaja,” katanya.



Untuk rekod, TVP yang mula bersiaran di televisyen konvensional pada 1972 telah dipindahkan kepada kaedah secara dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac 2008 dan tidak lagi disiarkan di saluran televisyen konvensional bermula 1 Januari 2009.

Namun ia diwujudkan kembali pada 6 April 2020 sejurus pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac tahun lalu.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker