Mereka tidak berani bantah darurat, bimbang tindakan kerajaan, kata Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa ramai individu membantah pelaksanaan darurat, tetapi tidak berani menyatakan bantahan secara bertulis.

Beliau berkata, kebanyakannya takut kerana percaya kerajaan persekutuan boleh melakukan apa-apa sahaja, termasuk denda RM5 juta dan penjara selama 10 tahun serta tidak mendapat perlindungan undang-undang.

“Ramai berpendapat darurat tidak perlu. Mereka sebut beberapa sebab mereka berpendapat demikian.

“Mereka jelaskan, tetapi nampak mereka dalam ketakutan. Mereka rendah suara sambil memandang sekeliling mereka,” katanya.



“Mereka pesan jangan bagi tahu sesiapa berkenaan pendapat mereka. Saya cuba jelas kerajaan tidak boleh buat begitu.

“Tetapi mereka tidak berasa senang. Disuruh tanda tangan surat rayuan supaya darurat ditarik balik, mereka tolak,” katanya di blog beliau.

Mahathir bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci, siapakah “mereka” yang dimaksudkannya.

Terdahulu Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa seramai 114 atau 115 Ahli Parlimen menolak pengisytiharan darurat kerajaan Perikatan Nasional (PN).



Anwar berkata, jumlah itu mencukupi dan meminta Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mempertimbangkan penolakan tersebut serta memanggil persidangan Parlimen dengan segera.

Atas nasihat kerajaan, pada 12 Jan lepas Agong mengisytiharkan darurat di seluruh negara sehingga 1 Ogos depan atau lebih awal sekiranya jumlah kes harian Covid-19 dapat dikawal dan dikurangkan dengan berkesan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, pengisytiharan darurat bukanlah rampasan kuasa dan aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa, walaupun Parlimen serta semua Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung dalam tempoh itu. FMT

https://mykmu.net/2018/03/26/orang-bantah-mahathir-tak-semestinya-sokong-umno/



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker