Bertempiaran lari ketika leka lerai komponen curi

Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU: Sekumpulan lelaki bertempiaran lari setelah menyedari kehadiran polis ketika mereka sedang asyik meleraikan komponen besi di sebuah kilang yang dipecah masuk di Jalan Idaman 2/17, Desa Idaman, Senai, semalam.

Polis menangkap salah seorang daripada mereka ketika cuba meloloskan diri ke bahagian belakang kilang, sementara mengesan tiga lagi individu yang dipercayai terlibat sama dalam kegiatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, sepasukan anggota polis membuat pemeriksaan di kilang tersebut kira-kira pukul 2 petang selepas mendapat maklumat sebelum mendapati pintu kilang berada dalam keadaan terbuka.

“Setelah memperkenalkan diri sebagai polis, kumpulan lelaki tersebut melarikan diri ke arah belakang kilang namun polis berjaya menangkap salah seorang daripada mereka iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun.

“Polis turut membuat rampasan antaranya empat unit telefon bimbit, 43 keping komponen besi, sebuah alat pemotong besi, 16 keping mata pemotong besi, sebuah tong gas dan sebuah generator,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beng Yeow berkata, dalam serbuan tersebut, polis turut menyita sebuah van dan dua buah kereta.

Katanya, susulan daripada serbuan tersebut, seorang lelaki membuat laporan polis memaklumkan kilang berkenaan dipecah masuk pada pukul 4.30 petang.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiga unit penghawa dingin dan sebuah lori hilang dengan anggaran kerugian adalah sebanyak RM80,000.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dengan kejadian pecah kilang tersebut bersama tiga lagi rakan sejenayah yang masih bebas.

“Ujian saringan awal air kencing dapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan turut mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama enam hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan

Leave a Reply