Kes bunuh wanita: Polis tahan lelaki miliki 13 rekod jenayah
KOTA KINABALU – Seorang lelaki miliki 13 kes jenayah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang wanita yang ditemui di kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah pada Selasa lalu.
Lelaki berusia 30-an itu ditahan pada Jumaat lalu di Jalan Maktab Gaya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kematian wanita yang dikenali sebagai Kelly berusia 30-an itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
“Hasil siasatan, wanita itu dipercayai warga asing namun siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti identiti sebenar mangsa.
“Siasatan juga mendapati, wanita itu sering dilihat berkeliaran bersama suspek sambil menghidu gam.
Bagaimanapun ada juga saksi yang mendakwa terdengar mangsa bertengkar dengan seseorang sebelum ditemui mati selepas itu.
“Bertindak atas maklumat, suspek yang mempunyai 13 kes membabitkan pelbagai kes jenayah sejak lapan tahun lalu ditahan pada jam 7.30 malam bagi membantu siasatan,” katanya pada Ahad.
Habibi berkata, soal siasat awal suspek mengaku mengenali mangsa sejak enam bulan lalu dan ada menumbuk mangsa beberapa kali ketika bertengkar di atas bukit tempat tinggal mangsa.
“Motif kejadian dipercayai disebabkan suspek cemburu terhadap mangsa selepas dilihat berjalan dengan lelaki lain.
“Punca kematian mangsa pula adalah kecederaan pada kepala dan muka disebabkan senjata tumpul dan pukulan yang kuat,” katanya.
Sehubungan itu, Habibi berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, mayat wanita itu ditemui orang awam kira-kira jam 7 malam dengan kesan lebam di kedua belah mata, mulut, dagu dan kedua-dua lengan si mati.