Tajuddin: Saya persoal isu kartel daging import dari era BN lagi

Pemimpin Umno, Tajuddin Abdul Rahman berkata dia telah mempersoalkan isu kartel daging import sejak memegang jawatan timbalan menteri pertanian dan industri asas tani pada era pentadbiran BN.

Tajuddin mendakwa kartel daging import sememangnya wujud dan ia membabitkan urus niaga bernilai bilion ringgit.

“Kartel daging import memang wujud. Bisnes bernilai billion RM ini dimonopoli oleh beberapa pengimport bukan bumiputera padahal pasaran terbesar adalah Melayu Islam.

“Masa saya di kementerian pertanian dulu, saya persoalkan banyak kali dengan Jabatan Veterinar. Saya tak puas hati kenapa ‘share‘ (kouta) import daging hanya 10 peratus (diberikan kepada bumiputera) daripada keseluruhan import,” kata ahli parlimen Pasir Salak Untuk rekod Tajuddin dilantik sebagai timbalan menteri pertanian dan industri asas tani ketika era pentadbiran BN. Menterinya ketika itu ialah, Ahmad Shabery Cheek.

Pada 2017, Tajuddin yang masih menjawat jawatan di kementerian itu mencadangkan untuk mewajibkan kuota sekurang-kurangnya 30 peratus untuk pengimport daging dari kalangan bumiputera untuk memecahkan monopoli kartel daging import.

Isu kartel daging import menjadi tumpuan semula baru-baru ini selepas media melaporkan kegiatan menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

Perkara itu dibongkar oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang mengenal pasti tiga jenama popular produk daging sejuk beku keluaran Australia yang diproses di sebuah kilang sejuk beku.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor kerana disyaki terbabit dalam rasuah berhubung aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Pada 30 Jan, dua pengarah syarikat pembekal daging didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu, di atas tuduhan menggunakan logo halal tanpa diperakui sebagai halal oleh pihak berkuasa pada kenderaan mereka.

Dalam pada itu Tajuddin berkata, ketika menjadi timbalan menteri dia telah mengambil tindakan meluluskan kebenaran kepada satu syarikat pengeksport dari India bertujuan untuk memberi lebih peluang kepada syarikat Bumiputera.

Jelasnya, dia kecewa kerana pengimport daging di negara ini dikuasai oleh kelompok tertentu saja.

“Saya telah mengambil tindakan meluluskan satu syarikatt eksport di India untuk memberi peluang kepada syarikat pengimport bumiputera.

“Syarikat (pengimport) sedia ada tak boleh diharap. Mereka sudah berpakat dengan pengimport bukan bumiputera dah berabad-abad (lamanya),” katanya.

Leave a Reply