Minyak masak mahal sebab harga minyak sawit naik, kata menteri
PUTRAJAYA: Kenaikan harga minyak masak tidak bersubsidi dipengaruhi oleh harga minyak sawit mentah (CPO) yang meningkat sejak Ogos tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, harga CPO dilaporkan memuncak melebihi RM3,000 per tan metrik pada Disember tahun lepas menyebabkan pihaknya menerima banyak rungutan mengenai kenaikan harga minyak masak tidak bersubsidi.
“Harga minyak masak tidak bersubsidi bergantung kepada CPO dan harga CPO ini pula ditentukan berdasarkan permintaan dan bekalan.
“Ini memberikan tekanan kepada harga dalam pasaran tempatan kecuali harga minyak masak disubsidi oleh kerajaan yang tetap dijual pada harga RM2.50,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas situasi harga minyak masak yang menunjukkan peningkatan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Sementara itu, Nanta berkata sejak Jun tahun lepas, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan trend harga minyak sawit mentah di pasaran dunia meningkat setiap bulan.
Katanya, kenaikan harga pengeluaran ini meningkat disebabkan oleh beberapa faktor iaitu peningkatan permintaan antarabangsa terhadap minyak sawit mentah dan yang telah diproses.
“Faktor lain adalah kenaikan harga minyak masak lain di pasaran antarabangsa telah menyebabkan minyak sawit menjadi pilihan berbanding minyak soya dan ‘rape seed’ serta faktor perubahan iklim yang menyebabkan pengeluaran minyak sawit terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Nanta berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan minyak masak pada harga stabil antaranya bekalan minyak masak bersubsidi pada harga RM2.50 bagi setiap kilogram.
“Minyak masak bersubsidi ini dijual di pasaran dalam bentuk pek polibeg plastik dan boleh didapati di kedai runcit dan pasar raya utama di Malaysia,” katanya.
Selain itu katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus menjalankan pemantauan terhadap penjualan minyak masak dalam botol bagi mengelakkan peruncit menaikkan harga dengan tujuan mengaut keuntungan berlebihan.