Cuti Thaipusam: Mengapa Cuepacs tuju Kedah saja, tanya MB

 

Meskipun dikritik hebat oleh pelbagai pihak Menteri Besar Kedan Sanusi Md Nor tetap mempertahankan keputusannya untuk menarik semula cuti peristiwa sempena Thaipusam di negeri itu.

Tidak itu saja, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu malah membidas pihak yang tidak bersetuju dengan ketetapan Kedah, termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Mengulas kenyataan dibuat badan itu melalui setiausaha agungnya Abdul Rahman Mohd Nordin, Sanusi berkata Cuepacs wajar mencadangkan kepada kerajaan persekutuan agar Thaipusam dijadikan cuti umum, bukannya hanya menunding jari ke Kedah.

“Cuepacs sepatutnya mencadangkan kepada kerajaan persekutuan untuk menjadikan Thaipusam adalah hari cuti umum yang rasmi bagi sektor awam seluruh Malaysia.

“Kenapa Ceupacs tujukan kepada Kedah sahaja sedangkan banyak negeri lain tidak memberikan cuti umum atau cuti peristiwa sempena perayaan itu?” katanya dalam satu kenyataan dibuat melalui media sosial hari ini.

Sebelum ini Sanusi mengumumkan Kedah tidak memberikan cuti peristiwa sempena Thaipusam pada tahun ini kerana negeri itu sedang melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah Afnan Hamimi Taib Azamudden pula berkata langkah itu dibuat memandangkan rakyat Kedah memang seolah-olah sudah bercuti sejak pelaksanaan PKP dilaksanakan kerana ramai yang bekerja dari rumah.

Bagaimanapun pelbagai pihak termasuk kalangan pemimpin dalam parti kerajaan mengkritik keputusan berkenaan. Mereka termasuk Pengerusi Lembaga Penasihat BN Najib Razak.

Jawatan bukan untuk selamanya

Semalam Malaysiakini melaporkan Cuepacs berkata tiada istilah cuti untuk kakitangan yang bekerja dari rumah. Justeru itu, Abdul Rahman berkata cuti peristiwa Thaipusam wajar diberikan kepada rakyat Kedah.

“Tiada istilah cuti tidak diberikan atas alasan kerja dari rumah. Itu dah bukan untuk sambutan. Itu kena kerja.

“WFH (kerja dari rumah) itu kerja, walaupun guna dalam talian, kerja tetap kerja,” katanya.

Mengulas kenyataan Cuepacs itu Sanusi lantas melontarkan pertanyaan terhadap tujuan ia dibangkitkan.

“Apakah kakitangan awam hanya ada di Kedah atau Ceupacs mahu menjadi alat kepada pihak tertentu?” soalnya.

Sementara itu Timbalan Presiden MIC M Saravanan menganggap Sanusi sebagai seorang “penglipur lara dari Jeneri” yang hanya tahu “omong kosong”.

Untuk rekod Jeneri adalah kawasan DUN di Kedah yang diwakili Sanusi ketika ini.

“Dua hari lepas, si penglipur lara yang cetek akal ini bercerita tentang pembatalan cuti Thaipusam, kini tiba-tiba jalan cerita dia bertukar – cuti tak batal kerana cuti tidak diberikan atau dipertimbangkan,” katanya.

Menurut Saravanan semua negeri lain yang mewartakan Thaipusam sebagai cuti peristiwa tidak membatalkannya kerana mereka peka dan arif terhadap adat serta amalan masyarakat majmuk.

“Tidak berbaloilah kita berbahas dengan si penglipur lara yang kurang cerdik dan tidak boleh dididik ini. Beliau dah diberi jawatan, sudah diangkat ke jawatan tertinggi menjaga negeri tapi perangai penglipur lara ini semakin menjadi-jadi.

“[…] Ingat, jawatan yang kamu pegang itu bukanlah untuk selama-lamanya,” kata ahli parlimen Tapah itu lagi.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker