4 beradik larikan mayat bapa dikhuatiri positif COVID-19 direman
KOTA KINABALU: Polis hari ini memperoleh perintah tahanan reman terhadap empat beradik yang melarikan jenazah bapa mereka yang dikhuatiri positif COVID-19 dari Hospital Lahad Datu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 31 tahun terbabit direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
“Semasa suspek larikan jenazah, kita dapati jenazah itu berstatus pesakit yang sedang disiasat (PUI) di Wad Kecemasan di Zon PUI (Hospital) Lahad Datu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, pada Jumaat.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Terdahulu dalam insiden jam 8.30 malam Rabu itu, empat beradik tersebut ditahan polis selepas bertindak melarikan jenazah bapa mereka dari Hospital Lahad Datu.
Mereka dikatakan enggan meninggalkan jenazah bapa yang mempunyai sejarah penyakit otak dan strok di hospital dan sebaliknya bertindak membawa pulang mayatnya ke rumah.
Mengulas lanjut, Hazani turut menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
You must be logged in to post a comment.