Hospital di Kelantan hampir penuh, pesakit Covid-19 diawasi di rumah

 

Kelantan melaksanakan pengawasan dan pemerhatian (HSO) di rumah bagi individu yang disahkan positif Covid-19 tidak bergejala bermula minggu ini.

Exco Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, keputusan itu diambil selepas hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri itu hampir penuh dengan pesakit Covid-19.



“Beberapa hospital yang menempatkan pesakit Covid-19 termasuk Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Tumpat hampir penuh.

“Malah beberapa PKRC juga hampir penuh susulan peningkatan kes mendadak menyebabkan HSO di rumah mula dikuatkuasa di Kelantan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas Covid-19, di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Dr Izani berkata, pesakit yang akan menjalani HSO perlu memenuhi syarat iaitu masih muda dan tiada penghuni warga emas serta kanak-kanak di rumah.

“Setakat ini, beberapa individu sudah menjalani HSO di rumah.



“Kita akan nilai keadaan pesakit terbabit selain keadaan rumah sama ada bersesuaian atau sebaliknya,” katanya.

Dr Izani berkata, pendekatan itu diambil susulan peningkatan kes di negeri itu dan pihaknya akan mengenal pasti beberapa lagi dewan yang sesuai dijadikan PKRC.

“Setakat ini kita sudah mempunyai lima PKRC dan sedang mengenal pasti beberapa lagi di setiap daerah yang bersesuaian,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker