PKP 2.0: Lebih ramai peniaga dijangka gulung tikar jika had operasi hingga 8 malam sahaja

Ibarat jatuh ditimpa tangga.

Itu realiti yang dialami rata-rata peniaga di negeri yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua apabila hasil jualan terus merosot sehingga 70 peratus.

Lebih malang, ada juga peniaga yang terpaksa gulung tikar gara-gara tidak mampu meneruskan perniagaan mereka.

Astro AWANI membuat tinjauan di sekitar Lembah Kelang dan mendapati suasana di beberapa restoran lengang.

Namun situasi itu berubah sekitar jam 6.00 petang sehingga 7.30 malam, apabila orang ramai mula berpusu pusu membeli makanan dan minuman mereka dalam tempoh waktu yang terhad.

Nada yang sama diluahkan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan. Baginya tempoh perniagaan dari jam 6.00 pagi sehingga 8.00 malam itu perlu dilanjutkan sehingga 10.00 malam.

“Rata-rata penghantar makanan datang selepas Maghrib, mereka beratur macam pasar malam untuk ambil pesanan makanan. Tetapi kami tutup jam 7.50 malam, memang tempoh itu sangat kritikal dan kami sebagai peniaga tidak menang tangan.

“Kalau kami sediakan makanan pelanggan selepas jam 8.00 malam sudah tentu akan dikenakan kompaun, kadang kala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kenakan tindakan tanpa tolak ansur sekalipun. Kami patuh kepada undang-undang dan SOP, tetapi waktu ditetapkan itu perlu diperhalusi lagi oleh kerajaan,” katanya.

Jika dilanjutkan tempoh operasi tersebut, tambah Jawahar lagi, dijangka dapat memberi waktu secukupnya kepada rakyat untuk membeli makanan dan minuman di restoran. Sekaligus, memberi ruang kepada peniaga juga menambah hasil jualan terutamanya ketika waktu puncak.

PKP 2.0 | Ibarat jatuh ditimpa tangga – Peniaga

Cabaran peniaga ketika ini, jelas Jawahar lagi bukan hanya melibatkan hasil jualan tetapi pinjaman bank juga memberi tekanan kepada mereka. Justeru, lanjutan moratorium dapat memberi nafas lega buat peniaga.

“Kalau boleh kerajaan dapat perhalusi moratorium, kalau boleh bank pertimbang sambung tiga hingga enam bulan untuk membantu peniaga.

“Ada setengah pinjaman memang tertunggak disebabkan hasil jualan merosot, tetapi ada juga pihak bank dah beritahu kami akan naikkan faedah daripada 3.6 peratus kepada 6 peratus sehinggalah tunggakan itu selesai.

“Ini benar-benar membebankan peniaga ketika situasi PKP,” katanya lagi.

Untuk rekod, lebih 600 peniaga di bawah PRESMA telah gulung tikar sejak PKP Mac 2020 diperkenalkan.

Peniaga Kambing Bakar di Kampong Bharu, Shahrul Anwar, 35, turut mahukan pendekatan sama diambil kerajaan ketika ini. Ujarnya, rata-rata peniaga hanya bergantung kepada perkhidmatan penghantaran makanan sahaja.

“Sekarang kita (peniaga) bertahan, PKP pertama (Mac 2020) kita dah tutup dua bulan. Sekarang kita harap delivery sahaja lah, tapi saya minta kerajaan lanjutkan sampai jam 10.00 malam.

“Ini (tempoh diberikan) macam orang nak bukak puasa, kelam kabut, sekarang (7.00 malam) baru orang nak beli makanan, harap dapat dipertimbangkan,” ujarnya.

PKP sekali lagi akan sebabkan banyak PKS gulung tikar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker