Perhimpunan Agung UMNO ditangguh, pemilihan parti diteruskan — MYKMU.NET

Perhimpunan Agung UMNO ditangguh, pemilihan parti diteruskan

Sebaran :

UMNO akan menangguhkan Perhimpunan Agungnya (PAU) yang sepatutnya berlangsung 30 dan 31 Januari ini, selaras dengan pelaksanaan Proklamasi Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tarikh baharu perhimpunan agung akan ditentukan kemudian.

Bagaimanapun, katanya lagi, pemilihan parti di semua peringkat, bagi penggal 2021/24, akan berlangsung pada satu tarikh yang sesuai tahun ini.

“Selaras dengan Proklamasi Darurat dan PKP, Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang dijadualkan pada 30 dan 31 Januari, 2021, adalah ditangguhkan. Tarikh baharu akan dimaklumkan kelak.

“Dimaklumkan juga YB Datuk Seri Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bersetuju agar pemilihan UMNO akan diteruskan di semua peringkat seperti yang dijadualkan pada tarikh yang sesuai tahun 2021,” katanya lagi.

Ahmad berkata, pimpinan pusat ingin mengingatkan semua ahli-ahli UMNO untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

Selain itu beliau berkata, kesemua ahli UMNO diingatkan agar sentiasa merapatkan barisan bagi menumpukan kepada isu-isu membela dan membantu rakyat, pada saat yang begitu mencabar ini.

Sebelum ini, beberapa Ketua Pemuda Bahagian mendesak Ahmad Zahid, serta pemimpin yang telah lama di atas, untuk berundur bagi membolehkan kepimpinan baharu mengambil alih parti.

Mereka berkata, serangan demi serangan dibuat ke atas Presiden sehingga ia mengakibatkan risiko dalam kawalan persepsi, dan akhirnya akan menggugat peluang UMNO untuk memenangi Pilihan Raya Umum seterusnya.

Selain itu mereka berkata, pemilihan parti perlu dilakukan tahun ini bagi memastikan rakyat dapat melihat barisan kepimpinan yang baharu, kurang dibelenggu isu-isu, dan diyakini dapat menerajui negara untuk tahun-tahun seterusnya.


Sebaran :

Leave a Reply

%d bloggers like this: