#PAU2018 : Perhimpunan Agung UMNO Kali Ini Cukup Besar Bagi Memaknakan Sebuah Perjuangan

Share


Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, perhimpunan agung kali ini tidak harus dilihat sebagai satu lagi perhimpunan agung seperti kebiasaannya, kerana perhimpunan agung kali ini mempunyai makna yang cukup besar bagi sebuah perjuangan demi agama, bangsa dan tanahair.

Menurut Annuar, perhimpunan kali ini akan menjadi perhimpunan yang lebih serius berbanding perhimpunan-perhimpunan yang sebelumnya ekoran senario politik yang berbeza pada hari ini.

“Kalau dulu, kita bersidang pada waktu siang, malamnya ada jamuan, masa untuk kita melayani tetamu dari luar negara, banyak program-program sampingan yang sesuai dengan waktu itu.

“Tetapi pada kali ini, perhimpunan lebih serius, lebih kompak, bersidang siang dan malam dalam tempoh yang pendek, tidak mengutamakan pada jemputan-jemputan tetamu daripada luar. Ia akan tertumpu lebih kepada soal-soal secara dalaman.

“Ini merupakan perhimpunan agung UMNO yang serius supaya selesainya perhimpunan agung ini kita akan memulakan satu pelan tindakan transformasi UMNO dan juga pelan bagaimana UMNO ini dapat kita perkasakan kembali dalam situasi hari ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program khas bersempena menjelang perhimpunan Agung UMNO kali ini yang bersiaran langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online.

Jelas beliau, perhimpunan agung kali ini mengambil kira semua perkara terutamanya apabila UMNO hari ini tidak lagi mengepalai kerajaan sebaliknya telah menjadi ketua di dalam saf pembangkang di negara ini.

“Perhimpunan Agung UMNO adalah satu event yang sentiasa dinanti-nantikan bukan sahaja oleh ahli UMNO dan perwakilan, tetapi juga oleh rakyat lebih-lebih lagi kali ini UMNO akan bersidang dalam satu suasana yang agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, di mana kita kini mengepalai saf pembangkang pasca PRU ke 14 yang lalu.

“Jadi persiapan perhimpunan agung kali ini mengambil kira semua perkara tersebut untuk memastikan bukan sahaja soal susunan atur cara, penyertaan dan penglibatan, kehadiran para tetamu, dan sudah tentu yang paling penting ialah ucapan dasar Presiden dan perbahasan yang menyusuli ucapan dasar tersebut.

“Kita berharap agar perhimpunan ini dapat dilaksanakan dalam suasana paling baik dan penuh ketertiban, namun apa yang paling penting ialah roh dan mesej daripada persidangan sebuah parti politik seperti UMNO ini akan benar-benar dapat mencapai matlamat yang kita harapkan,” ujarnya.

UMNO ONLINE


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *