Azmin sanggah pakar ekonomi, kata darurat tak jejas keyakinan pelabur


Walaupun banyak pakar ekonomi berpendapat pelaksanaan darurat akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali, yakin keadaan sebaliknya akan berlaku.

Beliau berkata pelaksanaan darurat terhad sebelum ini seperti di Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah terbukti tidak menjejaskan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia.

Justeru, perisytiharan darurat di seluruh negara Selasa lalu, akan memberikan keyakinan kepada pelabur asing, kata Azmin.

Beliau mendakwa pelabur asing melihat langkah itu sebagai kesungguhan kerajaan untuk menangani penularan pandemik Covid-19.

“Pelabur semakin yakin bahawa Malaysia berjaya menangani penularan Covid-19 secara bertanggungjawab dan kita akan meneruskan usaha ini,” Azmin dipetik berkata oleh Bernama.

“Apabila kita dapat melandaikan keluk Covid-19, ekonomi negara akan pulih dengan lebih cepat. Jika panjang lagi masanya, lagi besar (usaha untuk memulihkan ekonomi). Itu sebabnya kita memerlukan situasi di mana ordinan (darurat) telah diperkenankan oleh Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) bertujuan untuk menangani COVID-19,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan penganalisis mengenai kemungkinan keyakinan pelabur asing boleh terjejas berikutan pelaksanaan darurat.

Antara mereka, Felo Akademi Sains Malaysia, Madeline Berma, yang berkata walaupun beberapa pelabur akan cuba memanfaatkan kestabilan yang dibawa oleh darurat, masih ada banyak kesan negatif yang dapat menyahkan sebarang manfaat daripadanya.

“Darurat itu sendiri akan mengurangkan keinginan melabur syarikat-syarikat multinasional (MNC). Dicampur pula dengan faktor-faktor lain seperti kelemahan PKS dan pelabur swasta domestik lain, dan persaingan menarik pelaburan asing daripada negara-negara serantau, kita akan lihat trend penurunan jumlah dan kualiti pelaburan ke Malaysia.

“Sebilangan pelabur asing memandang proklamasi itu sebagai langkah tidak demokratik, dan itu akan dapat menganggu pasaran dan membawa kepada kos menjalankan perniagaan yang lebih tinggi,” kata Madeline. FMT

Leave a Reply