Guru Makan Gaji Buta? Tolong Hentikan Sendiran – NUTP

KUALA LUMPUR: Selepas berterusan dituduh makan “gaji buta” semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), warga guru sekali lagi menggesa orang ramai menghentikan tohmahan itu dan mengiktiraf pengorbanan mereka untuk memastikan pelajar menerima pendidikan berkualiti di rumah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, warga pendidik mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menjadikan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) lebih menarik.

“Ada guru berkorban gunakan wang sendiri untuk melanggan data internet, malah ada juga guru buat studio sendiri di rumah untuk memastikan sesi pengajaran lebih menarik,” katanya.



Ini kali kedua sejak bulan lalu NUTP terkilan dengan persepsi orang ramai yang menganggap guru kurang bekerja dan makan gaji buta dalam tempoh PKP susulan penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sepanjang PdPR dilaksanakan, ramai guru sanggup berkorban demi memastikan murid dapat mengikuti sesi pembelajaran, malah apabila kaedah itu dilaksanakan, hampir semua kos berkaitan ditanggung guru sendiri, terutamanya melibatkan utiliti.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Jan ini di seluruh negara hanya membabitkan calon yang menduduki peperiksaan utama bagi 2020.

Semua murid lain akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mulai 20 Jan.



Aminuddin mengakui pembelajaran secara bersemuka lebih memberikan impak dan mencapai objektif jika dibandingkan PdPR, namun semua pihak harus menerima kenyataan PdPR satu-satunya pilihan dalam keadaan sekarang.

“Kami anggap segala permasalahan sebagai cabaran dan guru-guru akan melakukan yang terbaik dalam ruang lingkup kemampuan dan kesesuaian murid. Dalam hal ini, proses pengajaran dan pembelajaran guru berasaskan keupayaan murid dan kesediaan sumber yang ada,” katanya.

Dalam hal ini, kerjasama ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah dapat berlangsung dengan lebih berkesan, tegasnya.

Sebelum ini, KPM menyediakan manual PdPR meliputi pendekatan dalam talian, luar talian dan “off-site”, sama ada menggunakan modul pembelajaran atau pembelajaran berasaskan projek, selain sentiasa berusaha memastikan semua murid mendapat akses pembelajaran.



Pada 20 Dis lepas, Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berkata, sebanyak 2.699 juta sesi PdPR dilaksanakan membabitkan guru dan murid sekolah rendah serta menengah di bawah KPM di seluruh negara dari 17 hingga 30 Nov tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 64% merupakan PdPR dalam talian, 17% luar talian, manakala 19% gabungan kedua-dua kaedah tersebut.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker