Pecah rekod! Malaysia catat 4,029 kes positif Covid-19, 8 kematian

PENULARAN wabak Covid-19 di negara ini merekodkan 4,029 kes baharu, menjadikan keseluruhan 155,095 kes setakat Sabtu.

Daripada 4,029 kes baharu yang telah dilaporkan, lapan merupakan kes import dan selebihnya merupakan penularan tempatan.

Antara negeri dengan kes jangkitan harian tertinggi termasuklah Selangor dengan 1,466 kes diikuti Johor (719), Sabah (449), Kuala Lumpur (347) dan Negeri Sembilan (214).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, lapan kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 594 kes kematian.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan lapan kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 594 kes,” ujarnya menerusi satu kenyataan.

Sehingga hari ini, 2,148 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 117,375 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, 205 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 79 kes memerlukan bantuan pernafasan.

 

Leave a Reply