‘Hospital swasta setuju rawat pesakit Covid-19’

Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) telah bersetuju secara dasar untuk merawat pesakit Covid-19 di kemudahan mereka, kata Timbalan Menteri Kesihatan I Noor Azmi Ghazali.

Menyedari kemudahan kesihatan awam di tahap genting susulan gelombang ketiga Covid-19, Noor Azmi berkata dia telah mempengerusikan mesyuarat bersama APHM untuk membincangkan perkara itu pada 13 Jan lalu.

“Secara dasarnya, pihak APHM sebagai mewakili hospital-hospital swasta telah menyatakan hasrat untuk berganding bahu dan akan bersedia merawat pesakit Covid-19 di kemudahan masing-masing.

“Saya amat berpuas hati dengan hasil perbincangan dan semangat kolaborasi serta solidariti yang ditunjukkan oleh semua pihak yang hadir dalam mesyuarat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan APHM serta pemegang taruh sektor swasta lain dalam masa terdekat.

Dia menegaskan yang meskipun KKM setuju rawatan bagi Covid-19 sewajarnya dilakukan di kemudahan kerajaan, pihaknya tidak menghalang mana-mana pusat kesihatan swasta yang ingin menawarkan perkhidmatan.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan kerajaan telah mula melibatkan hospital swasta dalam mekanisme mengekang wabak ini.

Difahamkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) di bawah KKM telah mewujudkan satu “model konsepsi” untuk integrasi klinik swasta, pembekal khidmat e-hailing, pembekal ambulans swasta dan hospital swasta.

Difahamkan juga yang tiga pembekal khidmat kesihatan swasta terbesar negara – IHH Healthcare Bhd, Ramsay Sime Darby Healthcare dan KPJ Healthcare Bhd – telah diberi taklimat oleh CPRC berkenaan perkara ini semalam.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa sistem kesihatan awam Malaysia telah berada di tahap genting.

Susulan itu kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan – iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Kelantan.

PKP juga akan dikuatkuasakan di Kelantan dan Sibu bermula esok.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker