Helikopter TLDM terhempas: Anak-anak Nurfarahimi mula terima kenyataan ibu sudah tiada

LUMUT: Tiga anak Allahyarham Pegawai Waran II Nurfarahimi Mohd Saedy sudah mula memahami dan menerima kejadian yang menimpa ibu mereka.

Suami Allahyarham, Pegawai Waran I Muhammad Faizul Kameh, 42, berkata beliau percaya ketiga-tiga anaknya iaitu Muhamad Alif Farhan, 16, Nur Alwani Fatihah, 12, dan Nur Alwani, 9, cukup kuat untuk menerima ketentuan Ilahi meskipun masih bersedih.

“Anak sulung saya sampai langsung tak bercakap dengan ahli keluarga lain sehinggalah majlis pengebumian selesai. Namun sebagai ayah, saya menasihati mereka untuk menerima apa yang telah ditentukan Allah SWT.



“Alhamdulillah, ketiga-tiga anak saya beransur-ansur pulih,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Muhammad Faizul yang bertugas di Kuantan, Pahang sejak enam bulan lepas berkata beliau akan menguruskan proses perpindahan ke Lumut bagi memudahkan urusan menjaga ketiga-tiga anaknya.

“Selepas apa yang berlaku saya fikir untuk kembali ke Lumut kerana anak sulung bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan dan saya tak mahu dia hilang fokus,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan dan memberikan sokongan moral kepada keluarganya.



Terdahulu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menziarahi Muhammad Faizul sekeluarga selain keluarga mendiang Leftenan T. Sivasutan dan waris Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Dalam kejadian 9.32 pagi pada 23 April lepas, 10 anggota dan pegawai TLDM maut selepas dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Dalam pada itu ibu mendiang Sivasutan, A. Parameswari, 60, berkata keadaan keluarganya kini semakin baik dengan perhatian diberikan pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kaunseling menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pesara guru itu memberitahu Sivasutan yang mesra dipanggil Ayya amat rapat dengannya dan sering menceritakan tentang tugas serta keistimewaan pakaian seragam TLDM yang amat dibanggakan mendiang.



“Sejak kecil dia memang minat melihat orang berpakaian seragam…jadi saya menyokong minatnya dan memperkenalkannya dengan pelbagai kerjaya beruniform termasuklah tentera laut,” katanya.

 

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Penangan Leona nyanyi pelat, lagu Ketipak Ketipung Raya makin tular

Melampau, siasat individu hina mangsa nahas helikopter bertembung



Vlogger China digelar bodoh oleh kakitangan syarikat penerbangan tempatan

‘Kenapa Allah Tak Kahwinkan Kau’ (Video)



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker