Nazri Aziz timbang tarik diri sokong kerajaan PN

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada Isnin memaklumkan beliau akan mempertimbangkan menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN).

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, keputusan muktamad akan dimaklumkan dalam sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur esok.

Beliau bahkan menjangkakan ramai lagi ahli Parlimen daripada UMNO akan tampil bagi menarik balik sokongan kepada kerajaan PN yang disifatkan sebagai sebuah kerajaan yang amat rapuh.

“Kita tunggu, nanti kita tengok berapa ramai lagi ahli Parlimen UMNO akan keluar. Saya juga akan buat keputusan esok (menyokong PN atau tidak),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada masa sama, beliau turut menyokong jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sekiranya ia tidak dapat dielakkan.

“Kerajaan ini bukan kerajaan yang dipilih, sebab itu dia akan menghadapi masalah sepanjang masa dan tiada jalan lain melainkan mengadakan pIlihan raya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cadangan melantik Timbalan Perdana Menteri dari kalangan pemimpin UMNO pada masa ini, katanya, ia sudah terlambat.

“Bak kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur,” katanya.

Mohamed Nazri mempersoalkan kenapa cadangan itu diuar-uarkan selepas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan beliau terhadap kerajaan PN pada Sabtu lalu.

“Kenapa tidak dibuat dulu, untuk menunjukkan keikhlasan. Kalau sudah tertekan begini baharu hendak (lantik) nampak tidak ikhlaslah.

“Maknanya (jawatan TPM) ini sepatutnya bagi dahulu lagi, bila kita dah buat keputusan macam ini baharu hendak ambil (tindakan). Jadi susah sikit la,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan akan memilih sama ada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri.

 

Bagi mencapai kata sepakat, Ismail Sabri dan Hishammuddin dibenarkan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum menyerahkan kepada Muhyiddin membuat keputusan muktamad.

Sumber daripada UMNO ketika memberitahu Sin Chew Daily berkata, calon Timbalan Perdana Menteri berkenaan perlu mempunyai kewibawaan untuk menyelesaikan persengketaan yang wujud dalam UMNO agar dapat menjamin kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut sumber itu, Muhyiddin tetap berpendirian untuk memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada UMNO, tetapi Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri dikatakan ingin mengisi jawatan tersebut.

“Namun disebabkan Ahmad Zahid masih terbabit dengan kes mahkamah, Perdana Menteri berhasrat agar UMNO dapat memilih calon lain yang lebih sesuai dan berkelayakan,” kata sumber itu lagi.-SH

Tidak patut BN disalahkan kerana Nazri Aziz

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker