Sorakan sambut pesakit Covid-19 di PKRC


Setiap kali pagar automatik dibuka, semua akan bersorak untuk memberi semangat kepada pesakit yang baru tiba supaya mereka tidak takut.

Itu perkongsian pesakit Covid-19, Muhamad Afifie Chan Mahadie Chan, 30, yang kini sedang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Menurutnya, dia mengganggap suasana berkenaan sebagai detik berharga selain sorakan itu bertujuan meyakinkan pesakit Covid-19 yang baru tiba untuk menjalani rawatan di PKRC berkenaan.

Muhamad Afifie yang dijadual menamatkan rawatan pada 14 Januari ini selepas dirawat sejak 7 Januari lalu berkata, petugas kesihatan juga menyuntik sedikit suasana ceria dalam dewan setiap kali membuat pengumuman.

Mengulas lanjut, Muhamad Afifie berkata, suasana dalam PKRC itu terkawal dan tidaklah seburuk seperti yang disangka segelintir pihak.

“Awalnya takut untuk menjalani rawatan di PKRC kerana banyak baca komen negatif di media sosial. Namun, tidak sangka pengalaman menjalani rawatan di sini sangat selesa dan lancar.

“Sebab itu, saya ingin kongsikan kepada masyarakat di luar sana dan berharap perkongsian itu dapat mengubah tanggapan negatif ke arah lebih positif,” katanya ketika dihubugi Harian Metro.

Katanya, semua individu dalam dewan itu adalah kategori pesakit berisiko rendah dan tidak lagi dapat menjangkiti satu sama lain serta dibenarkan berkongsi kemudahan.

Menurutnya, bukan saja fasiliti rawatan dalam keadaan baik, petugas kesihatan dan semua pesakit turut memberi sokongan serta mesra antara satu sama lain.

“Kami diberikan makanan tiga kali sehari dan ia (makanan) akan diberikan di katil masing-masing oleh kakitangan bertugas yang memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE).

“Kebiasaannya kami (pesakit Covid-19) sendiri akan membantu kakitangan yang bertugas mengagihkan makanan kepada pesakit lain,” katanya yang masih bujang.

Afifie berkata, PKRC juga mempunyai kemudahan bilik air yang mencukupi dan bersih.

“Sepanjang berada di sini saya tidak pernah beratur atau menunggu lama untuk menggunakan kemudahan itu. Malah, kemudahan untuk mengecas telefon bimbit juga mencukupi,” katanya kes kecurian juga tidak pernah dilaporkan di pusat berkenaan.

Terdahulu, perkongsiannya di Twitter mengenai suasana sebenar dan pengalamannya menjalani rawatan di MAEPS sebagai pesakit Covid-19 mendapat perhatian warganet sehingga diulang ciap lebih 23,000 kali setakat ini. HM

10,000 katil di PKRC MAEPS 2.0 dijangka siap Jumaat depan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker