Jangan laksana kawalan pergerakan, selesaikan isu dalam sistem kesihatan

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) menumpukan usaha mengekang Covid-19 dengan menyelesaikan isu sistem kesihatan, bukannya dengan menyekat pergerakan rakyat.

“Selepas pelbagai pelaksanaan PKP, PKPD, PKPB dan PKPP, malangnya kita sedang melihat gelombang jangkitan Covid-19 baru yang lebih teruk di Malaysia,” kata Sim dalam kenyataan hari ini.

Dia mengulas spekulasi yang timbul susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 mutakhir ini, serta pengumuman khas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkenaan perkara itu esok.

Sim menggesa satu majlis peringkat tinggi yang terdiri yang merangkumi pembangkang, ahli akademik, pakar dan pemegang taruh pelbagai sektor.

Katanya, strategi pencegahan dan pengurusan Covid-19 juga tidak harus bersifat berpusat, sebaliknya melibatkan pelbagai pihak bagi membolehkan tindak balas segera dan setempat.

“Setiap negeri berdepan budaya, keadaan dan cabaran berbeza.

“Untuk strategi pencegahan Covid-19 membawa kesan, kerajaan negeri dan tempatan perlu diupayakan dengan sumber dan kuasa (devolution of power) untuk mengetuai strategi peringkat negeri,” katanya.

Menurutnya, gesaan tersebut bukan untuk menuding jari tetapi untuk meminta agar kerajaan mendengar pandangan pakar.

“Senarai nama yang terdiri daripada 46 pakar, ahli akademik dan pengamal perubatan telah menulis surat terbuka kepada perdana menteri dengan mencadangkan sepuluh tindakan yang perlu dilakukan kerajaan untuk menangani gelombang baru jangkitan Covid-19,” katanya.

Berbanding pelaksanaan kawalan pergerakan, Sim menekankan soal kemampuan sistem penjagaan kesihatan dalam mengendalikan ujian, pengesanan dan rawatan wabak itu.

Jika sistem penjagaan kesihatan dapat melaksanakan tiga langkah itu dengan kadar segera, rakyat dapat menjalani kehidupan dalam konteks normal baru, katanya lagi.

“Apa yang kita hadapi hari ini ialah masalah sistem penjagaan kesihatan kita (dalam menampung kes). Ujian tak dapat dibuat dengan segera, pengesanan kontak masih secara manual dan perlahan walaupun hampir semua sentiasa mengimbas MySejahtera ke mana saja kita pergi, dan pusat kuarantin yang tidak cukup.”

Katanya, sektor kesihatan juga kekurangan petugas dengan ramai kakitangan barisan depan tidak henti-henti memerangi wabak sejak awal tahun lalu lagi.

“Walaupun PKP dibuat sekali lagi, tanpa menangani soal kesediaan sistem kesihatan, kita akhirnya tetap akan berdepan situasi sama.

“Kerajaan patut menggunakan segala pertolongan yang ada. Ramai yang telah menggesa pendekatan whole-of government dan whole-of-society secara lebih meluas,” katanya lagi.

Dia menggesa kerajaan menimbang untuk menggunakan khidmat jaringan klinik dan hospital swasta di seluruh negara agar berperanan terutama dalam melakukan ujian saringan massa, dan kemudian untuk pemberian vaksin.

“Kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini mencapai persetujuan dengan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS) agar 100 klinik swasta di negeri itu memberikan perkhidmatan vaksinasi percuma apabila vaksin tiba nanti,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker