GSC Cheras Leisure Mall, Berjaya Times Square ‘labuh tirai’ akibat Covid-19
PETALING JAYA: Pemilik rangkaian pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) mengumumkan penamatan operasi di dua cawangannya di ibu negara susulan tekanan akibat pandemik Covid-19.
Dalam kenyataan di Facebook rasminya, GSC berkata cawangan itu adalah Cheras Leisure Mall dan Berjaya Times Square.
“Berikutan situasi semasa dengan sekatan pembukaan akibat perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kami terpaksa menamatkan operasi dua cawangan ini secara kekal,” katanya.
Terdahulu, GSC turut mengumumkan penutupan sementara cawangannya di Ipoh Parade bermula hari ini susulan pelaksanaan semula PKPB di daerah itu.
“Pelanggan yang sudah membeli tiket bagi tayangan 7 Jan dan ke atas, pihak syarikat akan membuat bayaran balik, manakala pembelian tiket secara dalam talian akan dikreditkan semula kepada akaun pelanggan dalam tempoh 14 hari bekerja,” katanya.