Asrama pekerja asing sesak, kotor, berbau

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Melaka Rosli Jantan memeriksa asrama pekerja di Air Tawar hari ini. (Gambar Bernama)

JASIN: Sebuah kilang perabot di Air Tawar, Merlimau dikesan melakukan pelbagai kesalahan melibatkan aspek keselamatan, kebersihan dan penyelenggaraan asrama pekerjanya.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Zaini Yaacob berkata, antara kesalahan itu tiada perakuan penginapan, tidak menyediakan penginapan yang sesuai kepada pekerja dan tidak menyediakan peti kecemasan serta tong sampah, lapor Bernama.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam serbuan dilakukan lebih dua jam bermula 11 pagi tadi, mendapati kira-kira 150 pekerja warga Nepal, Bangladesh dan Myanmar ditempatkan di rumah panjang dan kontena yang diubah suai menjadi asrama pekerja dengan tempat tidur serta tandas kotor dan berbau.

“Sebagai contoh empat kontena diubah suai menjadi asrama pekerja untuk menempatkan 45 pekerja warga Bangladesh dalam keadaan sesak dan tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

“Hanya ada tiga tandas di empat kontena itu untuk dikongsi 45 pekerja, sepatutnya satu tandas dikongsi lima pekerja,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Operasi bersepadu melibatkan lebih 20 keanggotaan daripada JTK Melaka, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka serta Majlis Perbandaran Jasin yang turut disertai Pengarah JTK Melaka, Rosli Jantan.

Zaini berkata, penginapan rumah panjang pekerja di kilang yang beroperasi lebih 20 tahun itu juga tidak mematuhi spesifikasi kerana setiap unit bilik dikongsi antara 11 hingga 16 pekerja warga Nepal dan Myanmar.

Beliau berkata, pekerja terbabit juga terpaksa berkongsi katil serta bantal dan majikan juga didapati tidak melakukan saringan Covid-19 ke atas pekerja warga asing itu bagi membendung penularan wabak berkenaan.

“Kami akan membuka kertas siasatan dan seterusnya tindakan pendakwaan akan dilakukan terhadap majikan dalam tempoh terdekat.

“Bagi kesalahan penginapan tidak mendapat perakuan daripada ketua pengarah, denda sehingga RM50,000 boleh dikenakan ke atas majikan manakala bagi kesalahan membabitkan penginapan berpusat boleh didenda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-keduanya,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker