Abu Bakar Bashir akan dibebaskan Jumaat ini


Pihak berkuasa Indonesia hari ini memaklumkan, pemimpin spiritual kumpulan pengganas Asia Tenggara, Jemaah Islamiah (JI), Abu Bakar Bashir, akan dibebaskan dari penjara Jumaat ini.

Ulama radikal berusia 82 tahun itu dipenjara sejak ditahan pada 2009, atas tuduhan terbabit dalam kegiatan keganasan.

Pada 2011, dia dijatuhi hukuman dipenjara 15 tahun kerana didapati bersalah membiaya kem latihan pengganas di wilayah paling timur Indonesia, Aceh.

Ketua pejabat undang-undang dan hak asasi manusia wilayah Jawa Barat, Imam Suyudi, berkata Bashir akan dibebaskan dari penjara Gunung Sindur di Bogor, Jumat ini.

Ia berikutan tempoh hukuman penjara 15 tahun dikurangkan kepada 55 bulan selepas mendapat pengampunan.

“Dia sudah menjalani hukuman dengan baik dan mengikuti semua peraturan serta prosedur,” katanya, yang dipetik agensi berita Antara.

Beliau juga memaklumkan, Bashir ‘dalam keadaan baik’ menjelang pembebasannya.

Indonesia membebaskan 30,000 tahanan yang sudah menjalani dua pertiga daripada tempoh hukuman mereka pada April lalu, bagi mencegah penularan COVID-19 di penjara yang sesak dengan banduan.

Bashir didakwa mendalangi serangan pengganas paling kejam di Indonesia iaitu pengeboman di pulau peranginan Bali yang mengorbankan 202 mangsa pada 2002, meskipun dia tidak pernah disabitkan dengan serangan itu.

Pada Disember 2018, ulama Indonesia itu ditawarkan pembebasan awal dengan alasan kemanusiaan oleh kerajaan kerana kesihatannya semakin merosot.

Bagaimanapun, Bashir menolaknya kerana dia perlu mengakui kesetiaan kepada Indonesia dan Pancasila, seperti mana disyaratkan kepada semua pengganas yang sudah menjalani reformasi.

Sementara itu, jurucakap Polis Nasional Indonesia, Ahmad Ramadhan, berkata polis akan memastikan keamanan dan ketenteraman awam pada hari pembebasan Bashir.

“Selain itu, kita juga akan memantau pergerakan Bashir selepas dia dibebaskan.

“Ini tidak hanya dilakukan ke atas Abu Bakar Bashir, sebaliknya kami mempunyai pasukan perisik khas bagi memantau individu yang melakukan sebarang jenayah,” katanya.

Pembebasan Bashir dilakukan ketika usaha intensif skuad anti-keganasan Indonesia, Densus 88, membanteras keganasan di republik itu, yang menyaksikan beberapa pemimpin JI ditahan sejak kebelakangan ini. – AGENSI

Hampir seminggu dibebaskan, status Da’i Syed di IG buat ramai luah rasa rindu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker