Cubaan Sabotaj Tiada Setakat Ini – Bung

 

KEMABONG – Barisan Nasional (BN) Sabah mengesahkan sepanjang lapan hari tempoh berkempen tiada sebarang unsur sabotaj berlaku di 741 pusat daerah mengundi (PDM) BN.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan wujud unsur sabotaj di peringkat jentera mahupun akar umbi.

“Saya belum mendapat sebarang laporan dari 741 PDM BN. “ Buat masa ini saya belum mendapat satu pun laporan bahawa ada unsur-unsur sabotaj di bawah,” katanya ketika ditemui di PDM Kemabong, semalam.



Ditanya sama ada timbul masalah kerjasama dikalangan sekutu Gagasan Rakyat Sabah (GRS), beliau menafikan perkara itu sebaliknya berpuas hati dengan hubungan baik antara parti-parti bergabung.

“Kita ada kerjasama sebetulnya sebab tadi saya di DUN Bungawan pun ada pemimpin Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) datang, begitu juga di Lumadan pun ada… dan ini menampakkan bahawa matlamat kita satu, memenangkan Gagasan Rakyat Sabah (GRS).

“Antara Bersatu dan BN ini memang menampakkan satu gagasan yang paling baiklah sebab di kawasan saya pun Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akhbar turun berucap dengan saya membantu memenangkan calon di Lamag iaitu saya lah.

“ Saya berpuas hatilah dengan apa yang berlaku ketika ini mudah -mudahan berterusan dan akan kita pertingkatkan gerak kerja kita rumah ke rumah dan memastikan rakyat faham kenapa pilihan raya ini rakyat perlu menukar Parti Warisan Sabah (Warisan),” jelas Bung Moktar yang juga calon N.58 DUN Lamag.



Ahli Parlimen Kinabatangan itu memberitahu sebab utama rakyat Sabah wajar menolak Warisan kerana parti itu terbukti telah gagal membangun ekonomi, gagal menunaikan janji bahkan gagal mewujudkan satu pasukan yang dihormati oleh rakyat.

“ Rakyat beranggapan pemimpin Warisan adalah pemimpin-pemimpin yang suka menipu dan suka berjanji,” katanya.

Bung Moktar turut menempelak veteran DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa Aku Janji GRS sama seperti manisfesto yang dibawa UMNO sewaktu masuk ke Sabah 1995, katanya, DAP juga masih tidak melaksanakan Jawatankuasa Pembangunan Sandakan.

“Mungkin dia (Kit Siang) mimpi, saya bertanya dengan dia di PRK Sandakan dia ada janji mahu mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Sandakan, sudah menang mana itu jawatankuasa? Mana itu pembangunan Sandakan mana bajet dia? Saya tanya lim kit siang dia tak boleh jawab.



“Manisfesto ini adalah tawaran baru yang saya dan kawan-kawan kaji. Inilah keperluan rakyat, jadi kita bagi keperluan rakyat bukan apa yang kita mahu, inilah yang saya ingin jelaskan kepada Kit Siang,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker