UMNO tetap dengan pendirian bertanding 96 kerusi Parlimen – Mohamad
REMBAU: UMNO bersikap terbuka dan tidak menutup pintu rundingan mengenai kedudukan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2020 di Rembau, hari ini.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu bagaimanapun bertegas, UMNO tetap dengan pendirian untuk bertanding tidak kurang 96 kerusi Parlimen, termasuk 55 yang dimenangi parti berkenaan pada PRU ke-14.
“Kita tidak boleh mengharapkan orang lain, tapi dalam situasi yang memerlukan sokongan, kita boleh tambah lagi nilai untuk perkasakan parti.
“Namun jika mereka (parti sekutu) bersetuju dengan pandangan kita pada perundingan yang akan diadakan nanti dan jika semua pihak berpuas hati dengan cadangan atau pandangan yang diberikan, itu adalah lebih baik dan kita tidak perlu menolak sepenuhnya (rundingan).
Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO bahagian itu yang juga Menteri Sains, Tekonologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Mohamad mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa parti itu akan hanya bekerjasama dengan PAS tanpa membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi menghadapi PRU-15.
Tajuddin dilaporkan berkata, pendirian itu adalah selaras dengan kerjasama politik di antara parti berkenaan dengan PAS sejak 2018 sebelum menandatangani piagam Muafakat Nasional (MN) pada 2019.
Katanya lagi, melalui piagam itu, kedua-dua parti berjanji mengadakan kerjasama politik, termasuk tidak akan bertembung dalam PRU-15.
Mohamad berkata, apa yang dinyatakan Tajuddin itu dan pemimpin lain adalah pandangan dan pendirian masing-masing kerana yang akan membuat keputusan muktamad adalah parti.
“Kedudukan kerusi pada PRU-15 nanti perlu dilihat dari perspektif yang tepat. Kita sedar ada pemimpin UMNO bahagian lahirkan rasa tidak puas hati dan disebabkan sikap cemburu dalam pembahagian kerusi.
“Pandangan itu tidak menjadi satu kesalahan kerana akhirnya parti akan buat keputusan, malah Persidangan Perwakilan Tahunan UMNO pun akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, UMNO perlu fokus kepada usaha memperkukuh dan memperkasakan parti selepas tewas pada PRU-14.
“Hala tuju utama parti ketika ini perlu ditumpukan kepada usaha untuk memperkasakan parti bagi persiapan menghadapi PRU15,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata BN mempunyai pendekatan tersendiri dari segi pembahagian kerusi pada PRU-15 nanti.
“Pada PRU-15, kita nak menang dan sebab itu, kita teliti setiap kerusi termasuk dari segi geopolitik lokaliti.
“Pada dasarnya, parti komponen BN juga sudah bersetuju dengan pendekatan yang akan diambil dalam menentukan kedudukan kerusi dan calon (BN) pada PRU akan datang,” katanya.-BH