Zeti perlu jawab dakwaan keluarga terima dana 1MDB, kata Patriot

© Provided by Free Malaysia Today Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata, bekas gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz tidak harus…

 

PETALING JAYA: Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata, bekas gabenor Bank Negara (BNM) Zeti Aziz perlu menjelaskan dakwaan bahawa keluarganya pernah menerima dana lebih RM100 juta daripada ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho.

Presiden Mohamed Arshad Raji dalam kenyataan berkata, ia adalah dakwaan yang berat dan mengancam integriti bank pusat dan institusi kewangan negara.

Katanya, tanpa menghiraukan sama ada Malaysia Today, laman yang membuat dakwaan itu, boleh dipercayai atau tidak, “tetapi mengambil kira kemungkinan kesan akibat dakwaan berkenaan, Zeti tidak boleh terus membisu dan mesti menjelaskan serta-merta.”

Pada Selasa, bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa bekas gabenor itu pernah menasihatkan beliau supaya membuka akaun atas namanya untuk menerima dana asing yang kemudiannya dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Najib berkata, Zeti pernah mengeluarkan kenyataan sejurus selepas pilihan raya umum ke-14 menafikan beliau menyedari kewujudan dana itu atau mengenai apa-apa transaksi dalam akaun Ahli Parlimen Pekan itu, termasuk dana berjumlah RM2.6 bilion.

Arshad berkata mustahil BNM tidak menyedari wang yang begitu besar itu dimasukkan ke dalam sesebuah akaun peribadi.

“Sekiranya dana itu daripada sumbangan peribadi, usaha wajar harus dijalankan tanpa mengira sama ada seorang menteri berkata beliau pernah bertemu penderma dana itu.

“Bank Negara harus membuat keputusan secara autonomi. Pegawai di BNM tidak bertanggungjawab kepada ahli politik parti pemerintah,” katanya.

Arshad turut menggesa satu siasatan menyeluruh dijalankan.

“Patriot dan masyarakat mahu tahu hasil siasatan berkenaan.”

Semalam, Exco Pemuda UMNO, Shahrul Nasrun Kamaruddin, membuat laporan polis terhadap dakwaan sama dan berharap polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan siasatan segera dengan memanggil Zeti serta keluarganya.

Beliau turut mempersoalkan kesahihan transaksi membabitkan keluarga Zeti, serta jika ia mempunyai kaitan dengan dana 1MDB dan Jho Low.

Sumber : FMT

Leave a Reply