Ringgit masih pertahan kedudukannya meskipun lalui tempoh getir 2020

Ringgit akhirnya berupaya memperkasakan kedudukannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sebelum 2020 melabuhkan tirai selepas mengharungi turun naik sepanjang tahun yang serba mencabar ini.

Dari segi purata pergerakan 52 minggu, ringgit mencecah paras tertinggi RM4.03 berbanding dolar AS dan titik paling lemah RM4.45 pada April berikutan COVID-19 terus menyebabkan berlakunya krisis kesihatan global.

Ringgit yang amat dipengaruhi oleh harga minyak mentah Brent, penanda aras harga minyak tempatan – bergerak sejajar dengan unjuran pemulihan dan permintaan memandangkan sempadan antarabangsa masih ditutup.

Peningkatan kadar pengangguran selama tiga bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu kadar tertinggi yang dialami bagi tempoh sejak Krisis Kewangan Asia pada 1999 turut menjejaskan pergerakan kukuh unit tempatan.

Selain COVID-19, harga minyak mentah dan komoditi, ringgit turut menerima impak daripada ketidaktentuan politik tempatan, pemilihan presiden AS, inflasi, prospek ekonomi, kadar faedah global serta penarafan terhadap negara.

Bank Negara Malaysia menurunkan kadar dasar semalaman kepada paras terendah apabila penanda aras itu ditetapkan pada 1.75 peratus untuk menggalakkan pertumbuhan, sejajar dengan bank-bank pusat di seluruh dunia yang mengambil langkah yang sama.

Bagaimanapun, langkah-langkah bagi mengurangkan impak pandemik turut mengakibatkan semakan turun penarafan negara termasuk ke atas Petronas berikutan aliran tunai sekali gus memberi kesan kecil ke atas pasaran mata wang.

Namun, minat pelabur asing terhadap Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh 13 bulan susulan pelabur lebih memilih pasaran hutang berbanding pasaran ekuiti pada Disember.

Dari sisi positif, walaupun semua ini berlaku ditambah pula dengan dolar AS yang lemah semasa tempoh pemilihan presiden AS, ringgit sebaliknya berjaya mengekalkan pergerakan pada kedudukan kukuh sehingga akhir tahun ini.

Penutupan pasaran pada 30 Disember menyaksikan ringgit berada pada 4.03 berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, ringgit merekodkan prestasi bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain sama ada dari pasaran maju atau pasaran pesat membangun.

Berbanding mata wang negara maju sepanjang tahun ini, ringgit bergerak di antara 2.96 dengan 3.10 berbanding dolar Singapura; 3.68 hingga 4.17 berbanding yen Jepun serta 5.04 hingga 5.57 berbanding pound sterling.

Unit tempatan ditutup rendah berbanding yen, dan stabil berbanding pound dan dolar Singapura.

Berbanding mata wang di rantau ini, ringgit merekodkan purata pergerakan 52 minggu pada 12.96 hingga 13.91 berbanding bhat, lebih lemah berbanding tahun lepas dan 0.57 hingga 0.63 berbanding renminbi China dengan prestasi bercampur-campur.

Penganalisis berkata 2021 akan menjadi tahun pemulihan global dan ringgit dijangka membuktikan ia terus menjadi tarikan pelabur.

“Negara-negara jiran yang pesat membangun seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina juga sedang meninjau pelaburan yang sama seperti Malaysia dan itu akan menjadi persaingan yang sengit.

“Justeru, Malaysia perlu memperkukuh terasnya, menyediakan kestabilan politik yang menjadi penekanan pelabur, memesatkan penerimagunaan digital dan infrastruktur serta mewujudkan persekitaran mesra perniagaan untuk pelabur,” katanya.

Beliau menjelaskan Malaysia juga perlu mengikuti rapat sebarang perkembangan Vietnam memandangkan mata wang negara itu sedang bergerak kepada momentum peningkatan susulan pelabur membuat pelaburan secara besar-besaran ke dalam negara tersebut.

Nota-nota penyelidikan pula menunjukkan ringgit boleh mengukuhkan lagi pada 2021 dengan mencecah 3.80 hingga 3.90 berbanding dolar AS, dengan dipacu pemulihan ekonomi, harga minyak mentah dan komoditi yang lebih teguh serta persekitaran perdagangan antarabangsa yang lebih baik.

Di samping itu, saranan supaya Pilihan Raya Umum diadakan lebih awal, kejayaan pengekangan penularan COVID-19, data pengangguran serta faktor luaran seperti hubungan dagangan AS-China akan terus mempengaruhi mata wang tempatan.

Moga 2021 menjadi tahun yang menghadirkan sinar siang lebih kemilau dan cahaya malam bulan bintang yang lebih gemerlapan untuk ringgit terus meningkat dengan kukuh. BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker