[INDIVIDU TAHUN 2020] ‘Abah’ sayang rakyat
Sinar Harian senaraikan 15 Individu Tahun 2020 di Malaysia.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, 73
Diumum menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 29 Februari 2020 susulan kemelut kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh, Pengerusi PH serta Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Rentetan pelantikan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu merangkap antara pengasas parti tersebut, Bersatu keluar daripada PH yang seterusnya membawa kepada penubuhan blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin.
Dalam tempoh hampir setahun menerajui kepimpinan negara ketika seluruh dunia termasuk Malaysia dilanda pandemik Covid-19, Muhyiddin berdepan pelbagai tentangan politik daripada blok pembangkang yang mahu menjatuhkannya.
Bukan sahaja kerusi Perdana Menteri milik Muhyiddin menjadi rebutan ramai malah kerajaan PN pimpinannya turut diuji apabila Belanjawan 2021 yang diluluskan baru-baru ini mendapat tentangan hebat pembangkang.
Selain cabaran politik, Ahli Parlimen Pagoh itu turut bertanggungjawab merencanakan solusi terbaik untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat Covid-19, pada masa sama Muhyiddin yang dipanggil ‘Abah’ turut memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terjaga.
Populariti ‘Abah’ melonjak apabila beliau mengumumkan pelbagai inisiatif bantuan antaranya Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), moratorium pinjaman dan terkini pengeluaran wang dari akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi skim i-Sinar bagi meringankan beban kewangan rakyat yang terjejas dan kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19.
Umpama seorang bapa yang melindungi anaknya ‘Abah’ juga menawarkan diri menjadi antara individu terawal bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 demi meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh itu selamat dan berkesan. Sinar
Nota : Harap rakyat menilaikan samada betul ke abah ini sayang rakyat.