Roboh gerai: Noh cabar MB Selangor berdialog

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk berdialog berhubung tindakan perobohan gerai oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai pada Isnin lalu.

Noh berkata, cabaran dialog itu dibuat berikutan beliau dan peniaga gerai berkenaan akan turun ke MBSJ pada Khamis ini untuk berbincang dengan Datuk Bandar berhubung status perobohan gerai itu.

Menurutnya, pihaknya ingin memberikan pandangan kepada pihak terlibat berhubung tindakan perobohan berkenaan memandangkan beliau mempunyai sedikit pengalaman sewaktu menjadi menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini.

“Saya difahamkan Khamis ini mereka (peniaga) ada pertemuan dengan Datuk Bandar dan saya cabar Menteri Besar untuk turun sekali dan kita jumpa Khamis ini di sana untuk berdialog.



“Kita nak ajar macam mana nak memerintah. Saya juga ada pengalaman sewaktu jadi Menteri KPKT dan jangan buat sesuka hati,” katanya ketika turun padang melawat gerai peniaga-peniaga terlibat pada Rabu.


Noh melihat keadaan gerai yang dirobohkan MBSJ dalam operasi Isnin lalu.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai tindakan MBSJ merobohkan gerai di lokasi berkenaan yang didakwa menjadi punca kepada isu kesesakan.

MBSJ menerusi maklum balas berhubung operasi itu memaklumkan tindakan berkenaan diambil selepas terdapat pelanggaran syarat permit sementara dilakukan oleh penjaja terlibat di mana gerai itu didirikan di atas rizab jalan dan berstruktur tetap.



Mengulas lanjut, Noh berkata, pihaknya memahami langkah dilaksanakan oleh MBSJ sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, namun pelaksanaan perobohan itu pada masa kini adalah sangat tidak bersesuaian.

“Sekarang peniaga pun masih bergelut untuk tambah pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan masa ini amat tidak sesuai untuk dilakukan operasi perobohan itu.

“Saya minta supaya Menteri Besar dan Datuk Bandar belajar dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa tentang kaedah mereka boleh guna untuk bantu peniaga-peniaga ini,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang peniaga di sini, Azadila Alias, 38, berkata, pihaknya berharap agar isu dapat diselesaikan dengan sebaiknya menerusi pertemuan dengan MBSJ nanti.



“Diharap isu ini dapat diselesaikan sebaiknya kerana dalam beberapa pertemuan dengan MBSJ sebelum ini masih tiada sebarang penyelesaian konkrit,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga aksesori wanita, Khadijah Che Lah, 62, berharap agar MBSJ dapat memberi pertimbangan ke atas nasib peniaga di sini yang ada di antaranya merupakan warga emas, golongan kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.

“MBSJ sahaja dapat bantu kami dan saya harap agar pihak terlibat dapat membantu membela nasib kami,” katanya. Sinar

https://mykmu.net/2017/08/15/guan-eng-tetap-tidak-mahu-roboh-kilang-haram/



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker