Gengster Rebut Kawasan: 15 lelaki Samseng Ditahan

AMPANG JAYA, 14 Jamadilawal 1442H, Selasa – Polis menahan 15 lelaki disyaki ahli sebuah kumpulan samseng kerana terbabit dalam pergaduhan di sebuah restoran di Pandan Indah di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua mereka ditahan jam 10.30 malam, semalam.

Katanya, suspek berusia antara 17 hingga 35 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, yang terserempak dengan mereka dalam keadaan mencurigakan di restoran terbabit.



“Berdasarkan hasil siasatan awal, dua kumpulan ini terlibat dalam pergaduhan bermula di kawasan Lembah Jaya dan terus membawa ke kawasan tempat tangkapan di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah.

“Pergaduhan itu dipercayai tercetus kerana ingin merebut dan menguasai sesebuah kawasan bagi tujuan mendapatkan kepentingan tertentu, selain melakukan pemerasan,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, lima daripada suspek ditahan didapati mengalami kecederaan di kepala dan kesan luka di badan serta sudah mendapat rawatan pesakit luar, manakala seorang lagi suspek ditahan di wad Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

“Berdasarkan keterangan dan kesan kecederaan dialami, kita percaya kedua-dua kumpulan bergaduh dengan menggunakan senjata berupa kayu dan topi keledar.



“Semua suspek ditahan ini terdiri daripada ahli kumpulan samseng secara kecil-kecilan dan pihak polis sedang giat mengenal pasti serta mengesan ahli satu lagi kumpulan yang bergaduh dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk seperti dilapor BH berkata, hasil siasatan awal mendapati empat daripada 15 suspek memiliki rekod jenayah lampau berhubung kes curi dan merusuh dan salah seorang turut didapati pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Januari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dan jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker